Kadang-kadang memang sukar untuk kita memahami isi hati sendiri. Anda sedang membaca artikel ini sekarang, bererti anda sudah ada jawapannya.
Anda mahu menjadi usahawan dan perlukan saya untuk memberitahu bahawa anda tidak akan menyesal dengan keputusan ini.
Tapi, saya bukannya tukang tilik. Saya tak mampu membaca fikiran anda.
Sebenarnya, anda melakukan perkara yang serupa seperti saya di masa lalu, iaitu sebelum saya berhenti kerja untuk mencapai impian bergelar usahawan.
Jika anda perlukan tepukan semangat, saya sudi berikan.

Ya, saya faham perasaan dipandang rendah oleh orang terdekat.
Ibu bapa dan rakan baik sewenang-wenangnya mengatakan anda sudah tersilap langkah.
Tanpa sedar merekalah yang sebenarnya membuat kesilapan, bukannya anda.
Anda boleh menjalani kehidupan yang anda mahukan.
Jika anda mahu membina bisnes hari ini, hanya anda yang boleh menghalang diri sendiri.
Segala halangan dan duri di sepanjang perjalanan hanya akan membuatkan anda melompat lebih tinggi.
Mungkin anda rasa sesak dan terperangkap dalam dunia kerja sekarang.
Apa yang anda mahu hanyalah kebebasan, untuk menikmati kehidupan sendiri tanpa syarat.
Oleh itu, jom kita semak 10 tanda yang sememangnya anda ditakdirkan menjadi seorang usahawan.
Anda sebenarnya sudah tahu, kan? Mengaku sajalah.
Anda Menganggap Majikan Tidak Berkaliber
Terdapat perbezaan di antara bos dan ketua.
Seorang bos sering memberi arahan bagi tugasan yang perlu dibuat. Manakala seorang ketua memberi peluang kepada anda untuk belajar dan bertindak sendiri.
Anda dilantik kerana anda calon paling layak untuk memegang jawatan yang diberikan.
Jadi, kenapa seseorang perlu masuk campur tentang cara anda membuat kerja?

Itulah sifat dan amalan bos, seorang ketua tak mungkin buat begitu.
Sasaran dalam pekerjaan juga mustahil untuk dicapai, jika wujud golongan yang menghalang anda melakukan sesuatu mengikut cara anda.
Jika anda pernah berasa buah fikir atau bentuk latihan yang bos anda cadangkan bunyinya seperti ketinggalan zaman, nampaknya anda sudah bersedia untuk hantar notis berhenti kerja.
Dalam fikiran anda itu, sudah ada senarai kritikan yang panjang berjela, hanya tak terluahkan saja.
Bergelar usahawan adalah tentang melakukan setiap tugasan secara cekap dan berkaliber.
Jika anda berkhidmat di bawah jenis kepimpinan yang salah, perkembangan diri anda akan terbantut.
Ingat, persekitaran yang anda pilih dan lima orang yang anda sering habiskan masa bersama adalah apa yang membentuk diri anda.
Anda Mampu Berdikari
Jika anda bertanggungjawab, sentiasa dahagakan ilmu, mampu berdikari dan tahu bagaimana mahu hadapi isu-isu berat, anda sudahpun memiliki sifat seorang usahawan.
Anda tidak perlukan bimbingan sesiapa untuk memulakan bisnes. Cukup sekadar anda belajar menerusi aplikasi Shopify, membaca artikel online dan tonton video sistem dropship.
Segalanya sudah tersedia, anda hanya tunggu detik untuk melaksanakannya. Mungkin sudah terlambat jika anda memilih hari esok, jadi bertindaklah hari ini juga.

Jika anda benar-benar mahu menggapai impian, anda tentu sanggup buat apa saja untuk merealisasikannya.
Anda tidak perlu tunggu sehingga gaji seterusnya masuk.
Semestinya anda tidak perlu termenung menunggu kemunculan rakan bisnes, untuk membantu anda bermula.
Anda hanya perlukan diri sendiri.
Dan anda bakal menjadi insan yang paling bermotivasi dalam hidup anda.
Kuasa di tangan anda. Kenapa anda asyik terlupa?
Anda Sesak Nafas Mengadap Rutin Waktu Pejabat
Dulu saya pernah gagal dalam bisnes. Saya memaksa diri untuk pergi bekerja, hadapi kitaran 9 pagi hingga 5 petang, akhirnya saya sesak nafas dan kelemasan.
Ini bukanlah sejenis metafora semata-mata. Saya sedar setiap hari saya akan mengalami serangan rasa panik.
Ya. Jika anda terseksa dan tertekan ketika bekerja, anda akan diserang rasa sakit sepanjang masa.

Ia bermula dengan sakit perut yang mencucuk halus, tahap stres yang setinggi bumbung dan tubuh mengalami seram sejuk dan proses ini akan sentiasa berulang.
Itulah respon semulajadi badan anda kerana berada dalam persekitaran yang penuh toksik.
Dan, secara tak sedar muka anda turut dicop sebagai pekerja banyak MC.
Apa pun, itulah petunjuk bahawa sudah tiba masanya untuk anda tinggalkan rutin pejabat.
Anda Sudah Memiliki Bisnes Sampingan
Mereka yang tidak bekerja bukannya baru bangun tidur, meletak jawatan dan mulakan bisnes pada keesokan harinya. Itu formula yang kurang tepat. Berisiko tinggi.
Salah satu langkah bagi mengurangkan risiko kerugian, biasanya mereka sudah ada bisnes sampingan sebelum buat perancangan untuk berhenti.

Usahawan sejati bijak mencari, menapis, memilih idea bisnes terbaik untuk membuat duit.
Selepas itu, mereka akan melaksanakan idea tersebut. Mereka turut membongkar potensi diri untuk disesuaikan dalam bidang tertentu.
Anda belum mulakan sebarang bisnes lagi?
Tak mengapa, anda boleh buka satu kedai online hari ini.
Anda Membuat Keputusan Sendiri
Adakah anda pernah abaikan pandangan orang lain demi mencapai keputusan yang lebih bagus?
Mereka yang bekerja sendiri melakukannya setiap waktu.
Mereka bukanlah sengaja bersikap kepala batu atau diktator.
Mereka hanya mahu satu perkara atau tugasan itu dijalankan dengan lebih efektif, mengikut cara sendiri.

Jika anda mendapati bahawa anda sering membuat kesimpulan yang berbeza dari orang lain, anda sememangnya patut bergelar usahawan.
Orang di sekeliling anda berada dalam kitaran Rat Race bekerja di pejabat, manakala anda membuka perniagaan.
Orang lain mula bekerja pada pukul 9 pagi, sebaliknya anda boleh pilih mulakan kerja pada pukul 7 pagi.
Anda tidak sama seperti orang lain. Anda bersinar dalam jalan hidup sendiri.
Tidak Minat Politik Pejabat
Anda terdengar rakan sekerja bergosip tentang bos anda?
Anda pekakkan telinga dan tak mahu peduli. Anda tidak melibatkan diri dengan geng gosip atau membawang di dalam pejabat, langsung tak pernah.
Nampaknya, anda memang seorang yang kebal.
Jika berlakunya peralihan kuasa, ada syarikat lebih besar mengambil alih pengurusan syarikat terkini, anda tidak menganggap itu sebagai penamat segalanya.

Sebenarnya, mungkin anda sudah dapat menduga perkara itu lebih awal dan sudah bersedia untuk menyesuaikan diri.
Anda langsung tak berdrama, jauh sekali berasa sentap.
Anda bertenang saja dan mampu teruskan tugasan seperti hari-hari biasa.
Nilai usahawan yang menyala dalam diri membuatkan anda fokus kepada perkara yang lebih penting.
Dan sewaktu rehat tengah hari, anda mungkin sibuk mendengar audio topik bisnes bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan anda.
Impian Anda Besar Berbanding Apa Yang Dimiliki Sekarang
Mereka yang bekerja sendiri biasanya mempunyai impian terbesar dalam kehidupan ini. Apa salahnya berimpian atau bermimpi, ia tak perlukan walaupun satu sen, percuma sahaja.
Okey, apa yang anda mahu capai dalam hidup? Kongsikanlah, apa yang mungkin tercatat dalam diari atau buku nota impian anda sejak zaman remaja.

Apa yang anda boleh mulakan hari ini untuk terus melangkah ke arah sasaran anda itu? Bertindak sekarang dengan mulakan langkah pertama.
Langkah ini penting sekiranya anda takut berdepan dengan hakikat kegagalan. Anda wajib mula secara bertatih, satu demi satu langkah.
Kata Irfan Khairi, cara paling cepat untuk berjaya dalam perniagaan online adalah bermula secepat mungkin.
Anda Obses Mahu Tingkatkan Kemahiran Diri
Mereka yang bakal menjadi usahawan nampaknya obses mencari nilai tambah dalam diri.
Walaupun anda terikat dengan komitmen kerja harian, apabila ada kelapangan anda mungkin memasang dan menonton video-video tentang pengurusan bisnes.
Anda mungkin tak berminat tengok berita atau skrol paparan newsfeed di media sosial, anda sebenarnya menapis info-info yang tidak sahih.
Koleksi buku bisnes anda pula makin bertambah, tersusun tinggi memenuhi meja kerja. Ia bukan sekadar dekorasi, anda benar-benar membaca kesemuanya.
Setiap hari anda memastikan penjagaan kesihatan seperti, memasak menu diet atau meluangkan sedikit masa untuk bersenam.
Selain itu, boleh jadi anda turut bermain permainan video yang menguji ketajaman fikiran anda untuk mengendalikan cabaran ketika berbisnes.
Fasa belajar tak terhenti pada hari graduasi.
Sedar atau tidak, anda mungkin belajar lebih banyak menerusi dunia sebenar berbanding ketika di sekolah atau kolej.
Usahawan Yakinkan Anda Untuk Jadi Usahawan
Para usahawan berpengalaman mudah mengenal pasti orang yang berkongsi impian seperti mereka.
Hanya berbual beberapa minit, mereka sudah tahu anda berpotensi atau tidak untuk bekerja sendiri.
Orang berdekatan anda, seperti ahli keluarga mungkin berpendapat anda patut mempunyai jawatan tetap bagi menjamin kestabilan ekonomi peribadi.
Namun, sebaliknya apabila anda berbincang dengan usahawan senior, mereka dengan berani akan menegaskan bahawa anda tidak sesuai berada dalam dunia korporat.

Mereka tidak berkias sama sekali, mereka berterus-terang kepada anda.
Siapa yang makan cili api, dia yang terasa pedasnya!
Usahawan yang memberi galakan kepada anda itu bukannya dapat sebarang bonus, lebih kepada mereka bakal terima pesaing baru dalam lapangan bisnes.
Oleh itu, jika ada usahawan di luar sana yang menasihati anda supaya tinggalkan alam pekerjaan, sudah terang lagi bersuluh, mereka nampak ciri-ciri keusahawanan yang bersinar dalam diri anda.
Anda Benar-Benar Mahu
Jika naluri anda asyik memberitahu anda untuk bekerja sendiri, jangan abaikannya. Anda tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri lebih dari sesiapa pun.
Anda berasa tertekan bekerja dalam tempoh 9 pagi hingga 5 petang?
Anda sering terfikir untuk menghantar notis berhenti kurang dari 24 jam?
Adakah anda pernah rasa terdesak mahu melarikan diri?

Ya. Tak semua orang akan faham apa yang anda harungi.
Mereka cuba memujuk anda dengan mengatakan bahawa semua stress adalah normal dan ia pasti berlalu. Hakikatnya, itu tak mungkin terjadi.
Bukan semua orang ditakdirkan untuk kerja sendiri tanpa majikan, jadi mereka tak dapat memahami semangat keusahawan yang anda miliki.
Jika anda mahu bekerja demi diri sendiri, jadi teruskan niat itu! Dan jika anda perlu mendapatkan pekerjaan baru untuk bertukar angin, itu pun menarik juga.
Kesimpulan Tanda Anda Sudah Bersedia Menjadi Seorang Usahawan
Artikel ini ditulis khas untuk perjalanan membentuk sifat keusahawanan anda.
Saya tidak mampu sentiasa berada di sisi anda untuk yakinkan anda membuat pilihan tepat.
Tapi, sejujurnya anda tak perlukan saya. Anda sedar apa yang perlu dilakukan.
Saya tahu betapa berdebarnya untuk buat keputusan yang besar, menjadi berbeza dari orang lain.
Jangan risau, anda pasti bertemu ketenangan yang dicari.