Anda dah ada website ecommerce yang menarik?
Anda juga ada produk yang bagus dan stok yang mencukupi.
Bagaimana dengan hasil jualan setakat ini?
“Bolehlah, ada untung sikit dan boleh buat pusing modal bulanan.”
Tak boleh macam tu. Sampai bila nak pusing-pusing modal macam ni? Anda perlu fikirkan sesuatu yang dapat menjamin kemajuan bisnes ecommerce anda.
Sebelum kita pergi jauh, anda jawab dahulu soalan ini. Apa strategi utama anda bagi meraih jualan online yang kencang?
Mungkin anda dah gunakan pemasaran dalam bentuk emel dan pengiklanan di media sosial seperti Facebook atau Instagram.
Walau apa saja teknik yang anda usahakan, anda mesti ingat bahawa senarai emel yang panjang adalah perkara paling penting. Alamat emel yang lengkap itulah audien sebenar anda.
Ini database mahal! Bukan saja-saja nak kumpul emel orang.
Kenapa senarai emel boleh jadi penentu kejayaan bisnes untuk jangka panjang?
Sebaiknya anda mendekati pelanggan dan buat jualan secara aktif dalam pelbagai cara.
Contohnya, buat iklan jualan di Facebook, Twitter atau Instagram, kerana di sinilah tempat ramainya pelanggan yang sedang bersosial berkumpul.
Secara asasnya, jika anda gagal dapatkan info peribadi pelanggan, anda akan kehilangan pelawat yang pertama kali berkunjung ke kedai online anda.
Seterusnya saya akan kongsikan 10 cara kreatif supaya anda dapat dua kali ganda senarai emel setiap bulan.
Tak ada yang susah pun, juga tak perlukan bayaran mahal.
Ini semua hanyalah strategi kejayaan yang digunakan oleh kebanyakan pemilik bisnes online.
1. Gunakan Fungsi Smart Bar di Laman Web Anda
Salah satu cara termudah dan banyak digunakan ialah guna bahagian heading bar di website, untuk kumpul emel daripada pelawat baru.
Pilih gabungan warna sejuk yang tak terlalu terang sebagai latar.
Jenis teks yang akan dipaparkan di ruang heading bar juga tak boleh diabaikan.
Ambil tulisan yang mudah dibaca seimbas pandang. Dan biarlah penampilan warna dan teks ini nampak padan dengan rekaan keseluruhan latar website.
Apa faktor yang membuatkan pelanggan berminat nak sign up menerusi heading bar?
Jawapannya adalah olahan teks yang menarik. Pastikan anda memberi mesej yang jelas, ada tawaran khas yang mampu memikat pengguna untuk daftar dan mula melanggan.
2. Tukar Pelawat Jadi Pelanggan Emel dengan Kupon Pop-Up
Bayangkan anda tengah skrol gambar produk menarik di sebuah laman ecommerce dan tiba-tiba ada imej kupon muncul di skrin. Ini satu kejutan yang seronok, kan?
Ini antara alternatif yang diyakini lebih berkesan untuk mencuri perhatian pengunjung.
Jadi anda boleh cipta kupon yang bertemakan ‘selamat datang’ dengan diskaun eksklusif, yang hanya boleh dimiliki apabila pelawat berminat untuk subscribe newsletter laman ecommerce anda.
Buatlah rekaan kupon yang sedap mata memandang.
Paparkan ia di muka hadapan website, apa-apa yang berbentuk pop-up sememangnya lebih bagus berbanding gambar borang biasa yang statik.
Lagi, borang yang statik tak boleh dipangkah atau dipadamkan.
Manakala aplikasi pop-up akan beri pengguna pilihan untuk tutup jika tak mahu rasa terganggu ketika melayari website. Atau mereka boleh isi maklumat untuk dapat hadiah yang ditawarkan.
Oh ya, pastikan juga setting kupon pop-up yang anda guna tu mesra gajet.
Lagipun, aliran trafik biasanya lebih banyak datang menerusi telefon bimbit. Maklumlah para pengguna dan telefon masa kini bagaikan kembar, sentiasa melekat ke mana saja.
3. Di Bahagian Check Out, Jangan Lupa Minta Emel Pengguna
Sebaiknya, jadikanlah proses check out itu semudah yang mungkin. Jika pengguna tak nak daftar pun tak apa, biarkan saja mereka tinggalkan website dengan jiwa tenang.
Tapi, anda masih ada peluang untuk dapatkan emel mereka.
Caranya adalah, sediakan satu kotak kecil yang khas dan tanyakan alamat emel bakal pelanggan anda.
Bagaimana nak minta emel mereka secara sukarela?
Inilah saatnya anda bermain dengan emosi mereka.
Tawarkan pelbagai faedah, antaranya seperti pemberian e-resit, pengeposan pantas, hadiah percuma atau kod diskaun untuk berbelanja pada masa akan datang.
4. Masukkan Exit Pop-Up untuk Tarik Perhatian Pengunjung
Statistik menyatakan bahawa lebih 60 peratus pembeli online mengabaikan tempahan mereka di cart dan terus lesap.
Jadi anda dah rugi jualan sebanyak 60 peratus daripada pelanggan berpotensi.
Jika anda dah ada emel mereka, bolehlah anda hantarkan semula senarai tempahan dan yakinkan mereka.
Tapi, macam mana dengan pelawat baru yang tiada dalam senarai emel simpanan anda?
Baik, anda boleh cuba teknik Exit Pop-up.
Apabila pelawat nak tinggalkan website anda, aplikasi Exit pop-up menjelma. Inilah usaha terakhir untuk mengekalkan pelawat di halaman anda.
Pada mulanya mungkin mereka ragu-ragu nak membeli disebabkan harga yang agak mahal, jadi Exit Pop-Up berperanan menghalang pelawat melangkah keluar dengan tangan kosong.
Bagi tawaran super istimewa untuk pastikan pelanggan buat pembelian.
5. Tawarkan Point Kredit dalam Program Pelanggan Setia kerana Sudah Mendaftar Akaun
Walaupun pelanggan tak jadi membeli, mereka mungkin akan pilih untuk subscribe atau ikuti anda di media sosial dahulu.
Secara tak langsung anda dah dapat data mereka dan berikan mesej tentang cart tempahan mereka menerusi emel.
Hadiahkan mereka point kredit sebagai pelanggan setia selepas mereka mendaftarkan akaun di website anda.
Satu lagi idea menarik, anda boleh anjurkan konsep mengumpul point bagi setiap projek.
Jadikan point ini sebagai ganjaran yang memotivasikan pelanggan supaya bertindak.
Mereka secara automatik akan meraih point setiap kali melakukan sesuatu.
Tak kira sama ada menghantar emel atau mendaftar akaun, keduanya dah ada point yang tersedia.
Sebenarnya, inilah yang anda perlu buat jika nak kembangkan lagi senarai emel.
Tak perlu taktik yang sukar, hanya berikan sebanyak-banyak point yang boleh kepada bakal pelanggan.
Mereka pasti seronok dan bersemangat nak kongsi info peribadi, seterusnya setia mengikut apa saja yang bisnes anda keluarkan.
6. Sistem Chat Box Secara Langsung: Kumpul Emel Walaupun Ejen Tak Online
Ya, anda boleh dapatkan emel daripada pengguna yang berminat pada produk anda. Paparkan chat box yang bersiaran secara langsung dalam website anda. Cipta dan guna nama panggilan yang catchy sebagai ejen.
Semuanya bergantung pada sifat pengguna, anda boleh cuba letakkan chat box di bahagian tepi dan tanyakan jika mereka perlukan sebarang bantuan.
Jika ejen atau staff sedang offline, pastikan ada skrip tetap yang meminta pengguna tinggalkan emel supaya persoalan mereka boleh dijawab kemudian.
7. Tawarkan Konten Bernilai Seperti Ebook Atau Tutorial Percuma
Zaman sekarang, orang biasanya skeptikal dan malas nak berikan emel tanpa sebab kukuh.
Jadi anda perlu tunjukkan bukti atau gambaran tentang ganjaran hebat yang akan diterima.
Contohnya, jika anda pemilik bisnes online yang menjual barangan dapur, apa kata pikat mereka dengan ebook resipi sebagai hadiah kerana kongsikan emel?
Berikut adalah antara cara terbaik untuk minta emel pelanggan sebagai pertukaran dengan ebook yang eksklusif:
Perkara pertama, pastikan anda faham keperluan bakal pelanggan dan masukkan nilai luar biasa dalam ebook atau tutorial percuma tu.
Janganlah bagi konten yang terlalu umum, tu semua orang dah tahu.
Ebook tu anda boleh tulis sendiri atau cari saja freelancer yang berpengalaman.
Atau, anda terus beli produk yang sedia dijual di mana-mana website berkaitan. Pilih topik yang relevan dengan niche bisnes anda.
Sama ada anda berkorban dalam bentuk tenaga atau wang, ia adalah pelaburan yang sentiasa boleh digunakan untuk menukarkan pelawat biasa menjadi pelanggan tetap di kedai anda.
8. Pemasaran Mulut ke Mulut: Langkah Bijak Untuk Gandakan Jumlah Emel Secara Serentak
Netizen kita suka bercerita, kan? Bercerita atau bergosip, tiada siapa mampu menafikan bahawa pemasaran dari mulut ke mulut adalah sumber trafik yang bagus.
Pemasaran gaya ini membuatkan sesuatu info tersebar luas, ditambah dengan pelbagai perisa yang secara tak langsung membantu promosi bisnes anda.
Apa yang anda boleh buat ialah mengadakan kempen iklan tertentu, di mana pelanggan boleh memperkenalkan produk atau website anda kepada kenalan mereka dan akhirnya mendapat ganjaran.
Biasanya, pelanggan akan diberikan link unik sendiri dan dikongsikan bersama rakan.
Setiap kali pautan itu ditekan dan mereka masukkan emel, bermakna anda dah berjaya dapat email lead!
Pastikan anda membuat kempen yang menarik, cukup bermagnet untuk para pelanggan mempengaruhi kawan mereka pula.
Contohnya, anda tawarkan kod diskaun 50 peratus buat pelanggan yang sebarkan link kempen kepada kawan-kawan mereka.
9. Buat Tinjaun dan Kumpul Emel daripada Responden
Satu lagi kaedah untuk berhubung dengan pelanggan dan minta emel mereka adalah melalui tinjauan atau survey.
Anda boleh sahaja buat tinjauan untuk kumpul emel daripada orang awam dengan tawaran hadiah kecil sebagai tanda terima kasih.
Antara persoalan yang boleh ditimbulkan contohnya, tentang kelebihan dan kekurangan produk, pengalaman pengguna membeli di website, isu harga, sistem sokongan pelanggan dan lain-lain.
Ada banyak pilihan aplikasi yang sesuai dimuatkan dalam website.
Sebelum atau selepas survey, anda boleh minta emel responden untuk hantarkan maklumat terkini berdasarkan pendapat mereka.
Apa pun, satu survey cukuplah sekadar dua hingga lima soalan je.
Survey yang terlalu panjang akan membuatkan pelanggan rasa malas nak layan.
10. Setkan Tab Khas Bagi Pendaftaran Emel di Halaman Facebook.
Ini salah satu cara untuk kumpul emel pelanggan anda. Jika anda menguruskan halaman Facebook yang ada ribuan pengikut, cuba kumpulkan emel mereka melalui fungsi-fungsi di Facebook juga.
Di sinilah kelebihan butang Call-to-action daftarkan emel yang disediakan oleh halaman Facebook akan memudahkan anda. Hanya perlu susun dan letakkan butang ini di sebelah butang LIKE.
Anda boleh cari sendiri dan buat perbandingan terbaik.
Ada beberapa servis emel popular yang berhubung dengan pendaftaran emel Facebook untuk membantu para pemilik bisnes memiliki senarai info pelanggan yang diperlukan.
Kesimpulan 10 Tips Convert Trafik Jadi Subscriber Setia Store E-commerce Anda
Mempunyai pelanggan tetap dan senarai emel bermaksud anda sudah ada pasaran sendiri.
Bayangkan anda ada seribu emel dalam simpanan, dengan hanya satu klik semua info tentang produk baru anda akan terus sampai kepada bakal pembeli.
Jadi sekarang anda dah tahu strategi mengumpul emel dan teknik menarik perhatian pengunjung website, saya harap anda dapat mengaplikasinya supaya bisnes anda semakin maju.
Selamat berjaya!