Menjadi dropshipper tidak bermakna anda boleh jual semua benda.
Ada juga produk yang anda perlu elakkan daripada menjualnya, lebih-lebih lagi apabila anda baru nak belajar jadi dropshipper.
Jika mahu jual produk berkaitan juga, anda boleh dapatkan alternatifnya.
Ya, saya akan sediakan cadangan produk lain yang sesuai sebagai ganti supaya anda tak pening kepala untuk fikir.
Mengapa ada barang yang anda tak digalakkan jual?
1. Nak kurangkan peratus return & refund.
2. Elakkan isu trademark atau tanda dagang.
3. Elakkan isu dengan iklan FB yang makin strict.
Dah sedia?
Terus skrol ke bawah, baca dan hadam.
Walaupun dikatakan menjadi dropshipper adalah cara paling senang untuk mulakan bisnes online dan ada banyak produk yang anda boleh pilih, tidak semuanya boleh dijual.
Tidak dinafikan, apabila dah tersalah pilih produk anda akan ada masalah untuk mula balik.
Dah habis banyak masa dan wang untuk sediakan laman web, ayat iklan, promosi, polisi return & refund dan lain-lain, tiba-tiba dapat tahu produk anda ada isu besar. Terduduk dibuatnya.
Habis, produk apa yang boleh dijual dan yang mana anda kena elakkan?
Tenang, kita senaraikan satu demi satu ya.
1. Jeans/ Seluar Ketat

Seluar ketat, elakkan bang. Walaupun bunyinya macam hot market, tapi ini adalah produk yang anda kena elakkan
Sebab apa?
Kita selalu dengar pelanggan pulangkan barang sebab masalah saiz, kan?
Apabila jual seluar ketat ni, dah tentulah saiz akan jadi masalah besar. Maka, akan ada banyak permintaan untuk refund & return yang kita nak elakkan daripada berlaku.
Walaupun diketahui terdapat perbezaan saiz antara seluar dari US, Eropah dan China, dan saiz seluar berbeza walaupun jika dibeli dari mall yang sama.
Maka, tak hairanlah jika saiznya tak sama jika didapatkan daripada pembekal berbeza.
Umumnya, seluar dari China biasanya saiznya dua kali lebih kecil daripada seluar dari US.
Ya, mungkin anda kata anda boleh sediakan carta saiz. Tapi, berapa ramai pelanggan yang akan pilih untuk buat pesanan ikut saiz yang mereka biasa pakai?
Jika anda dah letak disclaimer supaya tambah 1 saiz siap-siap apabila nak order, ada kemungkinan pelanggan akan keliru juga. Akhirnya mereka tak seronok apabila nak shopping di kedai online kita.
Sudahnya apabila mereka tetap juga salah pilih saiz, anda akan ada satu kerja tambahan lain.
Bersedialah untuk mengadap proses return & refund yang kebarangkaliannya tinggi bagi produk begini.
Jadi, nak jual apa sebagai alternatif?
Selain seluar longgar dan labuh, anda juga boleh jual legging atau seluar yang kainnya jenis stretch.
Sediakan juga carta saiz, sifat kain yang stretchable itu akan bantu supaya ia boleh muat untuk saiz kaki pelanggan.
Pelanggan akan lebih mudah buat pilihan apabila anda tawarkan seluar longgar (tutup aurat juga bagi yang Muslim) atau stretchable, anda pun akan seronok sebab kurang permintaan untuk refund!
2. Beg Hitam

Dah kenapa pula dengan beg hitam ni?
Bukan beg plastik sampah ya, kawan-kawan. Beg di sini bermakna beg tangan.
Tapi, kenapa tak boleh jual beg hitam? Bukan lawa ke? Ringkas pun ringkas.
Ha, sebab itulah. Ringkas sangat!
Ingat satu perkara, produk apa pun yang anda jual pastikan ia dapat menarik minat pelanggan dan boleh buat mereka rasa mahu terus beli. Maknanya tengok gambar sahaja pun dah cukup. Ada rasa nak beli.
Dropshipper yang sukses perlu memahami pelanggan dan tahu produk mana yang mereka akan tertarik untuk beli.
Tak salah kalau anda suka beg hitam yang ringkas, tetapi itu anda. Bukan pelanggan.
Sebab itu, pilih produk yang pelanggan akan suka dan berguna untuk mereka.
Rugi apabila anda run iklan FB untuk produk ringkas dan sempoi sangat ni. Sebab pelanggan tahu mereka ada pilihan untuk dapatkan beg begini di kedai, jimat kos pos juga.
Maka, pilih untuk jual beg yang coraknya unik dan menarik.
Ia akan buat pelanggan berhenti skrol FB dan klik link untuk ke kedai online anda. Banyak pilihan warna, lain daripada yang lain, dan cantik apabila anda buat video iklan.
Macam mana nak tahu pelanggan suka produk anda?
Jika anda guna FB, perhatikan insight di Facebook Business Manager.
Anda lihat click-through-rate (CTR) bagi iklan yang anda dah buat tu. Keputusan ini mewakili jumlah pelanggan yang nampak dan klik link iklan anda.
Jika peratusnya kurang daripada 2%, ini bermakna anda perlu buat lebih test.
Cuba iklankan produk lain atau cuba format lain untuk iklan anda.
Sama ada anda tukar ke video, tukar gambar dan tajuk, dan sebagainya sampailah anda jumpa format yang okey. Yang nilai CTRnya lebih 2%.
3. Kasut Bertrademark

Ini satu lagi produk hot yang anda kena elakkan daripada terjebak.
Memanglah lumayan jika dapat jual, produk pun akan laku keras tetapi sebagai dropshipper baru saya nasihatkan jangan buat. Sebab jika anda buat, bermakna anda dah jual kasut tu secara haram.
Nak jual kasut atau produk ada trademark ni, kena ada lesen. Namanya reseller license.
Bukan kasut saja, mana-mana produk yang ada trademarklah senang cakap. Sekali anda dikesan, anda akan kena tutup semuanya.
Buang masa anda bina kedai online, buat katalog lawa-lawa, setup polisi baekkk punya, tapi akhirnya kena tutup. Rugi.
Tak berbaloi anda ambil risiko. Kedai nak pakai lama, jenama anda pun nak guna lama. Ada baiknya anda alihkan semua usaha tu kepada produk lain yang boleh bantu anda bertahan.
Nak jual apa?
Kasut, kita ganti dengan kasut jugalah. Kasut yang tak ada jenama atau kasut daripada jenama pembekal sendiri.
Banyak pembekal ada in-house brand walaupun tak ada trademark. Maka, anda boleh jual kasut mereka tanpa perlu bimbang.
Tak ada trademark bukan bermakna kasut mereka tak berkualiti. Banyak sahaja bahkan beribu jenama kasut berkualiti yang ada di pasaran tanpa trademark.
Semua kasut ini trendy dan diinspirasikan daripada model-model kasut yang popular di pasaran, jadi anda boleh saja promosikan semuanya dengan yakin.
Tak payah nak pening apabila dah kena tangkap sebab jual secara haram, bisnes anda pun akan terus berjalan. Tak gitu?
4. Face Mask

Eh, kenapa tak boleh jual face mask di FB? Produk kecantikan penting ni. Punyalah ramai cari, bukan perempuan saja.
Nak pula sekarang ni kalau dalam drama China, memanjang depa promo face mask.
Okey, bab ini nak tak nak anda kena kaji semula Polisi Pengiklanan Facebook.
Ada klausa yang cakap, tak dibenarkan iklankan produk yang ada claim atas kesihatan. Berkerut-kerut dahi nak fahamkan klausa ni. Luas sungguh cakupannya.
Kalau ikut mudahnya, ini bermakna mana-mana produk yang anda iklankan di FB dengan claim akan boleh beri perubahan pada keadaan kesihatan seseorang, termasuk dalam klausa ini.
Contohnya, anda kata produk anda boleh bantu cerahkan kulit. Dari sudut pandang team FB, ini termasuk dalam kategori health claim. Maknanya, iklan anda tak akan dilepaskan.
Leceh?
Ya, sedikit. Tapi, sebab anda nak gunakan kelebihan FB yang ada berjuta-juta audiens itu, kenalah ikut peraturan mereka.
Jika anda buat juga, ada kemungkinan iklan tak approve dan akaun anda akan kena ban.
Silap-silap akaun anda akan kena delete. Dah satu hal nak mula semula dan kumpul follower, kan?
Jadi, macam mana kita boleh buat?
Sediakan cermin. Macam mirror server database internet kalau nak main game atau tengok movie online tu.
Macam mana cermin ni berfungsi?
Caranya, anda sediakan produk lain sebagai cermin yang akan bantu pelanggan kenal jenama dan kedai anda di FB.
Jual sahaja face mask di kedai online anda macam selalu dan sasaran anda pastilah golongan yang obses dengan produk kesihatan dan kecantikan ni. Tak perlu risaukan nak buat iklan di FB.
Jika produk anda yang paling laku itu tak lepas untuk diiklankan di FB, bertenang sahaja.
Bagi promosi dan iklan di FB, anda boleh cari aksesori atau produk lain dalam niche yang sama. Untuk sasaran pelanggan yang sama dan iklankan di FB dengan sasaran untuk tarik trafik ke kedai online anda.
Apabila pelanggan dah masuk kedai anda, mereka akan jumpa produk lain dan tak mustahil mereka akan jumpa face mask anda juga.
Menggunakan cara ini, anda tak perlu nak buat iklan lain dan anda juga tak akan kena banned di FB. Teruskan sahaja kumpul followers dan likers dengan produk yang FB tak banned.
5. Perabot

Nak jual perabot ni, banyak hal yang anda kena teliti.
Walaupun anda boleh markup tinggi dan buat untung besar dengan jual perabot, ia bukanlah produk yang disarankan untuk dropshipper baru.
Ingat ini sahaja. Jangan jual produk yang saiznya lebih daripada 90 x 60 cm atau berat lebih daripada 2 kg.
Kalau anda nak jual juga, anda kena fikir dan sediakan banyak benda. Plan backup pun kena banyak.
Pertama sekali, cara penghantaran. Dah tentulah kos penghantaran akan tinggi. Silap-silap kos pos akan lagi mahal daripada harga barang yang anda jual.
Satu lagi, kalau dah saiz besar ni tentulah akan ambil masa yang lebih lama untuk penghantaran. Itu dah satu perkara lagi – pelanggan tak seronok apabila kena tunggu lama.
Tapi, saya tak nafikan yang produk hias rumah ni niche yang menguntungkan.
Jika anda tetap nak kekal dalam niche ini, cari produk yang dalam kategori saya sebut tadi. Saiznya tak lebih daripada 90 x 60 cm dan berat kurang daripada 2 kg.
Apa yang anda boleh jual? Aksesori untuk perabot besar.
Contohnya set alas meja, cadar, sofa, dan macam-macam lagilah yang sewaktu dengannya. Kecil, boleh dilipat dan anda nak pos pun senang.
Paling penting, anda tak pening nak fikir kos penghantaran yang tinggi. Untung pun untung, kan?
Kesimpulan 5 Jenis Produk Yang Anda Perlu Elak Jual Dalam Store E-commerce Dropship.
Okey, jelas tak?
Jangan pakai redah sahaja atau nanti anda sendiri penat dan burn out nak tanggung segala kerugian sebab strategi anda yang suka langgar dinding tu.
Tak salah nak untung besar apabila berniaga. Siapa yang tak nak?
Tapi, pastikan risiko yang anda ambil berbaloi untuk jangka panjang kepada jenama dan kedai online anda sendiri.