Anda pernah dengar tentang TikTok?
Saya kalau sebut TikTok ni nampak orang menari saja. Anda macam mana?
Rasanya ramai dah tahu gelombang TikTok yang melanda media sosial hari ini, kecuali jika anda tinggal di dalam gua tanpa teknologi.
Dengan corak penyampaian yang mudah, konten aplikasi TikTok ditonton oleh jutaan audien setiap hari. Jadi tak hairanlah pengiklanan TikTok mendapat sambutan hebat, dan dimanfaatkan sepenuhnya para pemilik bisnes.
Hari ini, terdapat 500 juta pengguna TikTok yang aktif di seluruh dunia, dan ia menjadikan medium ini bagaikan bonus buat pengiklan.
Tapi, bagaimana pemasaran aplikasi TikTok ni berfungsi? Dan, adakah bisnes kecil juga boleh iklankan produk mereka di TikTok?
Jika anda tertanya-tanya berkenaan pemasaran guna TikTok dan tak tahu mana nak mula, saya ada beberapa info yang mungkin boleh kurangkan serabut otak anda.
Saya akan kongsikan panduan yang anda perlukan untuk faham pemasaran TikTok, asas sebagai pengguna dan kepelbagaian fungsinya yang unik.
Teruskan membaca untuk belajar tentang dimensi TikTok yang pelik tapi menarik dan bagaimana bisnes anda boleh jadi sebahagian darinya.
TikTok Ni Aplikasi Apa Sebenarnya?
TikTok adalah sejenis aplikasi media sosial yang membolehkan pengguna membuat dan melihat video yang berlatarkan muzik.
Ia memang sesuai untuk menyebarkan apa saja isu. Para pengguna hanya perlu skrol dan tonton konten orang lain tanpa perlu menyumbang.
Aplikasi ini membuatkan sesiapa juga mampu mencipta video semudah memetik jari!
Tapi sebelum kita kaji setiap fungsi, anda mungkin nak tahu TikTok yang tiba-tiba popular di kalangan remaja ini berasal dari mana.
Baiklah, aplikasi ini dimiliki ByteMedia. TikTok pertama mereka dikeluarkan dalam versi China dan diberi nama Douyin pada September 2016.
TikTok yang menggunakan sistem serupa seperti Douyin dikeluarkan setahun kemudian. Tak berapa lama selepas itu, ByteMedia berjaya dapatkan aplikasi lip-syncing Muscial.ly pada tahun 2018.
Dan, populariti TikTok meroket naik kerana dua aplikasi yang digabungkan.
Disebabkan perkembangan yang mendadak, beberapa pengguna TikTok atau pembuat video jadi terkenal dan mencuri perhatian ramai orang. Di antaranya ada yang dah menandatangani kontrak bersama agensi bakat hasil dari konten-konten viral mereka.
Siapa Pengguna TikTok?
Siapa penonton setia yang tengok semua video?
Siapa yang rajin klik butang play tanpa kenal si pembuat video?
Sebenarnya, secara spesifik mereka ini terdiri dari gen Z yang berumur bawah 30 tahun. Manakala 41 peratus pengguna TikTok adalah dalam lingkungan 16 ke 24 tahun, dan ternyata mereka ini ada kuasa membeli.
Itu yang menyebabkan pengiklanan di TikTok begitu berkesan dan memainkan peranan penting dalam bisnes masa kini.
Bagaimana Cara Gunakan TikTok Untuk Pemasaran?
Walaupun aplikasi ini baru bertapak sejak lewat 2018, tapi harus diakui bahawa dunia pengiklanan TikTok bergerak sepantas kilat. Pada masa akan datang mungkin ada inovasi yang lebih besar, namun inilah cara yang boleh diguna pakai oleh pemilik bisnes bagi tujuan pemasaran:
1. Membuat Profil
Mungkin inilah kaedah termurah nak libatkan diri dalam pemasaran TikTok kerana anda hanya perlu buat profil, cipta konten dan bina audien.
Namun, anda mesti pandai berkreatif untuk membuat video yang bukan saja dapat promosikan jenama anda, tapi juga memikat hati penonton.
Penonton tak guna TikTok untuk menonton iklan, jadi setiap usahawan harus rancang dan kaji konten yang popular sebelum mula buka akaun.
Apa pun, jangan risau sebab saya akan bongkarkan rahsianya di bawah ini.
2. Membayar Untuk Iklan Rasmi TikTok
Ada iklan berbayar! Haruslah harganya pun besar.
Tetapi buat masa ini tak semua negara dapat keistimewaan serupa kerana ia tertakluk pada kawalan harga. Pengiklanan TikTok berbayar tampil dalam beberapa pilihan seperti:
Iklan sebelum video bermula: Video yang terpasang sebaik saja pengguna buka aplikasi ini.
Iklan di newsfeed: Video yang muncul ketika pengguna sedang laju skrol.
Cabaran promosi guna hashtag: Video yang mengajak pengguna buat video mengikut konsep cabaran tertentu.
Penjenamaan: Penggunaan filter yang khas berkaitan jenama tertentu. Ia hampir sama dengan fungsi di Snapchat dan Instagram, bezanya info jenama ditampilkan dengan lebih spesifik.
Kesimpulannya, pengiklanan melalui TikTok sememangnya mahal. Jika anda ada RM50,000 ke RM100,000 untuk dilaburkan buat iklan, maka aplikasi ini antara pilihan terbaik.
3. Bekerjasama Dengan Influencer
Ya, apa kata anda ringankan beban dengan bekerjasama bersama influencer yang sudah ada nama?
Ia menjimatkan kos dan proses kreatif mencipta iklan akan menjadi lebih mudah.
Gunakan khidmat influencer ni, jadi anda tak perlu keluarkan belanja besar berpuluh ribu ringgit untuk kontrak iklan dari syarikat TikTok.
Dan sekarang ramai usahawan kecil dah buka mata dengan memilih teknik yang sama untuk mempromosikan produk mereka.
Tapi, ada cabaran lain dari segi anda tak boleh masukkan link website dalam caption video TikTok. Mungkin anda boleh minta influencer letakkan link tu dalam bahagian biodata mereka atau di ruang komen video anda.
Apa pun, semakin banyak langkah pasti ada risikonya. Terpulang kepada audien sama ada nak terus klik sampai ke laman web anda atau mereka hilang minat separuh jalan.
4. Mudah Membeli Video Di TikTok
Anda ada dengar khabar angin pasal shoppable video boleh didapatkan dalam TikTok?
Ini adalah pilihan terkini yang sedang diuji oleh beberapa influencer TikTok, namun fungsi ni dah boleh digunakan di aplikasi TikTok versi Douyin.
Menyamai fungsi Swipe up seperti yang ada dalam Instagram, shoppable video mengizinkan pengguna untuk letak pautan pada video iklan TikTok.
Hanya dengan satu tap, pengguna dapat dihubungkan ke website anda.
Walaupun TikTok dah sahkan mereka sedang menguji fungsi itu, tapi tak ada kepastian lagi sama ada ia akan disebarkan secara meluas kepada semua audien.
Jadi buat masa sekarang, anggaplah shoppabble tak boleh dimasukkan dalam senarai pilihan.
Pemasaran TikTok: Gunakan Pelbagai Fungsi
Jika dibandingkan dengan media sosial seperti Facebook atau Twitter, pengguna TikTok mencipta konten mereka mengikut trend terkini atau memes.
Ia boleh berubah dengan pantas, apa yang meletup minggu ini tak semestinya masih kekal panas pada minggu seterusnya. Kata kuncinya adalah peka dengan perkembangan trend setiap waktu.
Walaupun konten yang original dipuji dan dihargai, tapi video respon yang diberikan pada konten terbabit turut ada peluang untuk dapat pulangan berbaloi.
Apa jenis konten yang paling disukai penonton agaknya?
Di sini ada beberapa variasi konten yang anda boleh pertimbangkan untuk pemasaran menerusi TikTok.
Cabaran Hashtag
Anda pernah tengok rakan anda atau selebriti membuat video cabaran yang ada hashtag tertentu?
Sebenarnya, cabaran hashtag ni adalah tugasan spesifik yang dimulakan oleh seorang pengguna dan diikuti pengguna TikTok lain yang berminat.
Mereka akan buat video yang sama, pos dan gunakan hashtag serupa.
Tiada peraturan tertentu. Sesiapa pun bebas untuk reka cabaran hashtag, namun tiada jaminan sama ada ia akan tersebar luas atau tak.
Statusnya berbeza apabila ada jenama yang membayar untuk cabaran guna hashtag, ayat hashtag yang berfungsi sebagai promosi akan berlangsung selama beberapa hari.
Biasanya, satu pautan khas akan diwujudkan di mana para pengguna boleh terus membeli produk itu menerusi TikTok.
Jika muncul cabaran hashtag popular yang padan dengan jenama anda, jangan sesekali melepaskan peluang ini demi mendapatkan perhatian audien.
Pastikan anda view terlebih dulu video-video lain yang turut serta dalam cabaran supaya anda dapat memahami konsepnya dengan lebih jelas.
Mencipta dan Gunakan Semula Bunyi
Ini adalah kelebihan dalam TikTok Musical.ly yang asal, tapi sebahagian dari TikTok berfungsi disebabkan wujudnya bunyi latar video tu sendiri.
Bunyi-bunyian ini termasuklah teaser lagu, ucapan, dialog filem atau drama atau boleh jadi sekadar komen rawak para pengguna.
Apa yang paling hebat adalah apabila ada bunyi digunakan dalam video, secara automatik ia tersimpan dalam TikTok dan pengguna lain boleh mengulang siar konten yang sama.
Cabaran Menari
Populariti muzik menerusi TikTok sememangnya terlalu besar sehinggakan sesiapa juga mampu buat video menari.
Anda tak perlukan sebarang sijil atau bakat.
Cukup dengan modal kulit muka tebal. Buang malu jauh-jauh.
Sesuatu cabaran akan jadi viral apabila ada pencipta gerak-geri tarian lagu tertentu dan pengguna lain mengikut jejaknya. Tarian tu mungkin dapat ditiru sebiji sama, berbeza atau sengaja diparodikan secara berlebihan.
Sebagai contoh, selebriti Malaysia yang sering buat cabaran tarian adalah Hael Husaini. Tarian lagu Hajat pernah trending satu ketika dulu dan dipromosikan dengan hashtag tersendiri.
Berduet Dan Impaknya
Antara tarikan TikTok yang sering mengunci pandangan audien adalah kehebatan filter dan teknik kesan khas yang pengguna boleh muatkan dalam video ciptaan mereka.
Berduet sememangnya pilihan yang popular. Ia membolehkan penguna paparkan satu video dan rekod satu lagi video untuk digabungkan dalam pos yang sama.
Fungsi berduet ini biasa digunakan bila seorang pengguna cuba meniru video asal dari pengguna lain, contohnya seperti konten DIY memasak atau kraftangan.
Impak dari sistem ni boleh jadi menghasilkan situasi yang kelakar atau nilai kreatif mengalahkan video pertama tadi.
Apa pun, anda tak boleh berasa selesa dalam tempoh yang lama kerana filter TikTok sentiasa dikemaskini dan selalu ada perkara baru untuk dikaji oleh pengguna.
Contohnya, fungsi Sembilan Efek Kamera Pecah yang menjadi kegilaan ramai selepas penciptanya gabungkan teknik tu bersama lagu Mr Sandman.
Baiklah, sama ada anda nak laburkan duit, buat konten sendiri atau dapatkan khidmat influencer, semua kaedah ini berpotensi melonjakkan jenama anda.
Ya, anda dah boleh mulakan pemasaran TikTok.
Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.
Walau bagaimanapun, senarai yang saya kongsikan ini agak meletihkan minda kerana ia sangat baru dan bukan budaya kita. Apa yang anda harus ingat, tak ada satu cara tepat untuk mencipta iklan TikTok yang terbaik. Teruskan mencuba dan perbaiki kesilapan.
Mencari Keserasian Anda Bersama Pemasaran TikTok
Jika tiada satu pun ciri-ciri atau format yang sesuai dengan jenama anda, bertenang saja.
Anda boleh membuat survey TikTok untuk melihat apa lagi trend yang sensasi dan anda boleh belajar sebaik terjumpa konsep, bunyi atau hashtag yang disukai.
Umpamanya TikTok ni adalah lautan kreativiti, ia langsung tak terbatas apabila melibatkan dunia pemasaran. Cara terbaik buat iklan dengan aplikasi TikTok masih tak jelas.
Jadi inilah peluang terbentang yang mesti direbut pemilik bisnes berbajet kecil, mulakan bereksperimen dan cuba apa saja yang mungkin membantu anda sukses.
Kesimpulannya, pengguna TikTok mahukan video yang bijak dan seronok. Jika anda dah jumpa formulanya, tunggu dan lihat saja jumlah pengikut anda akan bertambah.
Janganlah harapkan ia berlaku sekelip mata. Sesetengah pengguna boleh jadi viral hanya dengan sebuah video, tapi kebiasaannya akan ambil masa sebelum segalanya berjalan lancar.
Semoga dengan perkongsian pemasaran TikTok ini ada manfaatnya kepada bisnes anda.