Karakter seorang usahawan berjaya pastinya berbeza dibandingkan dengan mereka yang seharian menghadapi rutin kerja pejabat dari 9 pagi hingga 5 petang.
Jika anda terbaca artikel ini dan tersangkut, mungkin itu tandanya anda ingin tahu sama ada karakter usahawan berjaya ada dalam diri sebelum terjun ke lautan bisnes.
Jauh di sudut hati, anda sudah tahu jawapannya.
Saya tidak boleh menjadikan anda usahawan berjaya .
Namun berbekalkan skil dan bakat sedia ada, saya yakin anda mampu bekerja keras dan memperoleh taraf kehidupan yang lebih daripada sekarang.
Apa pun, jom kita lihat senarai sifat usahawan yang ada.
Yakin Pada Diri Sendiri
Hakikatnya tiada siapa yang mampu halang seseorang usahawan untuk berjaya mencapai impiannya.
Ibu anda ragu-ragu dengan usaha anda? Tak ada masalah.
Kawan baik anda rasa anda sekadar main-main? Tunggulah, anda akan ketawakan mereka pula nanti.
Majikan selalu buat anda stress? Tak apa, semua itu hanya akan tinggal jadi sejarah dan menjadi pengalaman yang mematangkan.
Ciri-ciri paling ideal seorang usahawan berjaya adalah mereka percayakan diri sendiri di saat tiada siapa pun yang menyokong.
Dan mereka memiliki keyakinan luar biasa untuk menghadapi pelbagai ujian dan rintangan.
Mata mereka seolah-olah ada nyalaan api semangat yang marak.
Anda mahu menjuarai pertandingan dengan diri sendiri dan bebaskan diri anda daripada kitaran hutang?
Bisiklah pada diri sendiri, “Saya juara dalam hidup saya! Saya superhero! Saya mahu melakukan sesuatu demi mengubah kehidupan saya.”
Namun, cakap kosong je tak berguna. Bertindaklah dan buktikan pada diri sendiri.
Tahu Nilai & Kemampuan Diri
Di antara ciri-ciri terbesar seorang usahawan berjaya adalah mereka tahu kemampuan diri.
Anda mahu tahu nilai diri sendiri? Lihatlah tahap gaji anda. Realitinya, anda menukarkan masa anda dengan duit. Itulah jumlah sumbangan anda.
Menakutkan?
Adakah anda fikir jumlah yang dibayar itu berbaloi dibandingkan dengan 2,000 jam yang anda laburkan setiap tahun?
Detik 2,000 jam yang sama anda boleh luangkan bersama keluarga, mengejar cita-cita atau bekerja meraikan impian anda, bukannya impian orang lain.
Bergelar usahawan menuntut beribu-ribu pengorbanan. Pada mulanya, hidup anda mungkin tidak mudah dari segi kewangan, tapi anda dapat aset setiap 9 pagi hingga 5 petang yang amat mahal, iaitu masa.
Masa yang tidak boleh dijual beli.
Saya berikan satu contoh situasi. Anda sudah dipecat dan kehilangan sumber kewangan yang selama ini stabil, boleh jadi membimbangkan.
Namun jika anda bertenang dan teruskan bersemangat seperti biasa, ia akan jadi satu memori yang bermakna.
Kenapa?
Kemungkinan besar peristiwa dipecat itu yang mengubah hidup anda dan membongkar ciri-ciri usahawan yang terpendam dalam diri anda.
Pendengar Yang Baik
Kemampuan mendengar dan berasa empati adalah sifat yang diperlukan oleh seorang usahawan berjaya.
Kebanyakan orang biasanya suka menghabiskan masa dengan scroll newsfeed media sosial, membaca emel secara pasif dan scan tajuk-tajuk utama isu semasa. Tindakan yang sama sekali tidak bermotif, tanpa tujuan.
Itu bukanlah sifat pendengar yang hebat.
Pendengar yang hebat akan memahami bahan bacaannya, merasai emosi konten yang disampaikan dan berfikiran rasional dengan memilih perspektif artikel-artikel yang dibaca.
Selepas mendengar dengan teliti apa yang diperkatakan, apa yang dirasai, apa yang sampai ke telinga, anda bangkit dan mencari jalan penyelesaian.
Anda sedar bahawa ada manusia yang bertarung dengan kesunyian walaupun mereka tidak menunjukkannya.
Secara tak langsung, anda berperanan menyelesaikan isu kesunyian era teknologi.
Pintu peluang sudah terbuka.
Anda boleh mencipta aplikasi khas yang dapat menghubungkan para pekerja, fokus pada aktiviti yang membentuk semangat berpasukan dan tidak abaikan sebarang aduan.
Percayalah, pekerja suka pada majikan yang peka dan mahu mendengar.
Punca Sumber Maklumat
Prinsip hidup seorang usahawan berjaya adalah, “Mencari Jalan Penyelesaian.”
Jika anda tidak tahu sesuatu perkara, bacalah buku yang berkaitan dengannya.
Jika anda kurang bagus dalam sesuatu tugasan, serahkan kepada mereka yang pakar.
Jika anda tidak ada waktu untuk uruskan semuanya, tumpukan fokus pada perkara yang meninggalkan kesan mendalam.
Jangan risau, anda hanya insan biasa. Einstein tahu banyak perkara, tapi genius seperti dia juga tidak mampu tahu semuanya.
Apa pun, anda perlukan rasa ingin tahu yang tinggi untuk belajar supaya anda dapat membantu pihak lain dengan mengurangkan beban masalah mereka.
Jadi amalkan membaca buku, daftar bengkel dan belajar pelbagai skil yang unik. Semua itu akan melahirkan versi baru anda yang lebih baik.
Bercita-cita Tinggi
Orang yang bercita-cita tinggi sama sekali tidak bermimpi untuk naik pangkat atau tangga gaji.
Sebaliknya, orang yang bercita-cita tinggi mahu terbang dan membina legasi tersendiri.
Anda tidak dapat menikmati keindahannya jika hidup dengan mimpi orang lain. Setiap tindak-tanduk anda terbatas, tiada kebebasan.
Namun, jika anda berusaha menjadikan mimpi anda satu kenyataan dan mencipta kejayaan, anda mampu memilih destinasi seterusnya. Jalan terus atau belok ke kanan, itu adalah keputusan anda.
Apa saja yang anda ingin bina terpulang kepada anda.
Mungkin anda mahu memiliki rantaian kedai makanan segera di bandar-bandar besar.
Atau, anda sebenarnya hanya inginkan bisnes yang kecil, sebuah syarikat yang berkembang maju dan tidak terlalu stres untuk diuruskan.
Anda juga boleh mencipta aplikasi atau website secara sampingan supaya anda boleh dapat pendapatan pasif untuk jangka panjang.
Perkara paling penting adalah anda harus menjalani kehidupan yang anda raikan.
Mula awal jika anda benar-benar mahu. Setiap usaha kecil yang anda buat secara konsisten, pasti akan membantu pencapaian anda untuk hari esok.
Rajin dan Gigih Bekerja
Baiklah, kita sudah sampai pada ciri yang keenam. Satu lagi sifat dan persamaan usahawan berjaya ialah rajin bekerja.
Ramai figura hebat di luar sana yang mencurahkan sepenuh fokus mereka untuk tempoh 80 ke 90 jam seminggu.
Ya, anda perlu berkorban masa dan tenaga untuk menjamin kejayaan bisnes anda. Anda perlu lebih gigih bekerja daripada orang lain.
Tapi faktor kerajinan tak semestinya melibatkan komitmen masa. Ia juga harus disertakan dengan usaha yang teliti.
Secara logiknya, adakah anda yakin dengan bekerja terlalu keras selama 80 jam seminggu mampu menghasilkan nilai yang hebat? Siapa yang dapat kekalkan prestasi tanpa alami gejala ‘burn out’?
Tiada sesiapa. Anda hanya manusia biasa, bukannya robot.
Jadi jika anda mampu kunci komitmen selama tiga jam sehari, maka terus ikut rutin yang sama dan berikanlah yang terbaik.
Masa yang berbaki boleh digunakan untuk meningkatkan pengetahuan anda, seperti membeli dan membaca buku-buku yang bagus.
Ingat, anda boleh bekerja bersungguh-sungguh tanpa perlu membuktikan pada orang sekeliling bahawa anda bekerja lebih kuat dari mereka.
Kerja keras yang berkualiti adalah lebih bermakna berbanding kuantiti.
Bagaimana? Adakah anda sanggup berkorban segalanya dalam hidup demi perkembangan bisnes?
Itu bukan prinsip asas keusahawanan yang sebenar.
Sebenarnya, ia tentang membuat sesuatu pekerjaan dengan cara yang betul supaya anda memiliki banyak masa untuk menikmati kehidupan.
Anda bukannya hidup untuk kerja, anda kerja untuk hidup.
Pemurah
Sesetengah orang suka mengambil atau menerima, tetapi usahawan berjaya pula sentiasa memberi.
Jika anda dapat keluar daripada pusingan ‘rat race’, kemiskinan atau musibah, anda memegang tanggungjawab membantu orang lain untuk turut sama keluar dari zon itu.
Kejayaan yang sebenar datang dari sejauhmana kemampuan anda untuk mendekati dan berkongsi rezeki bersama mereka yang hidup susah.
Jika anda dapat mencari jalan keluar, anda mampu mengubah taraf ekonomi ramai orang yang memerlukan.
Selepas anda berjaya mencapai tahap itu, di mana hanya mereka yang bertaraf jutawan dapat muhasabah diri dan mula berfikir untuk terus menyebarkan kebaikan di serata dunia.
Mungkin anda boleh menderma buat kerja kebajikan atau menyelesaikan salah satu isu global.
Atau anda boleh berkongsi kemahiran dengan mengadakan seminar motivasi untuk membantu mereka yang menghadapi tekanan hidup.
Selagi anda sanggup mencurahkan usaha demi manfaat bersama, anda sememangnya layak memegang status usahawan.
Semakin banyak anda memberi, pasti pulangannya akan meningkat berkali ganda.
Tidak Suka Hidup Mewah
Salah satu sifat paling ketara seorang usahawan ialah mereka ni suka berjimat. Sebelum membeli apa-apa, mereka akan buat kira-kira dahulu secara bersistem.
Mana boleh bakar duit macam tu saja? Haruslah tengok pulangannya juga.
Cuba tengok cara berfikir orang kebanyakan, sebolehnya mereka mahu habiskan setiap sen yang dimiliki.
Sebaliknya cara berfikir orang kaya hanyalah fokus untuk hidup mengikut keperluan mereka.
Saya kongsikan satu contoh, Warren Buffet masih menetap di rumah yang dibeli pada tahun 1958.
Bayangkanlah beliau memiliki harta yang mencecah angka 86 bilion, tetapi memilih untuk tinggal di rumah lamanya sahaja. Memang sangat sederhana dalam berbelanja.
Menjalani kehidupan secara ala kadar dan tidak bermewah, maksudnya anda hanya keluarkan duit untuk keperluan dan anda memberi peluang kepada diri untuk mempunyai simpanan.
Wang simpanan yang bermula sedikit, lama-lama jadi bukit.
Makanan tengah hari berharga RM10 yang anda beli mungkin boleh dilaburkan ke akaun bank atau pasaran saham demi menjamin kehidupan stabil di masa hadapan.
Cara anda berfikir dan berbelanja sebenarnya jadi penentu.
Jika anda menghabiskan semua wang ke atas barangan berjenama, satu hari nanti apabila keadaan mendesak, tak mustahil anda menjualkan semula barangan itu dengan harga diskaun.
Betul, kan?
Satu hari nanti juga, anda akan sedar bahawa anda tidak perlu membeli barang mahal hanya untuk buktikan kemewahan diri.
Percayalah, lebih baik jadi kaya tanpa populariti.
Bertindak Sebagai Pemilik Bisnes
Anda tahu tak, ada jurang perbezaan di antara mereka yang bekerja sendiri dan usahawan?
Usahawan berperanan dan bertindak lebih kepada pemilik daripada pekerja.
Impian utama adalah bukannya sekadar menjadi orang yang menguruskan bisnes, tetapi orang yang memiliki bisnes itu.
Sebenarnya, bekerja sendiri ni boleh menimbulkan banyak tekanan.
Bayangkanlah, anda bekerja 80 jam seminggu dan anda stres tentang aliran duit. Anda sedar tak? Penyakit jantung boleh menyerang anda pada bila-bila masa saja.
Ya, serangan bahaya itu tak terjadi pada semua orang. Tapi ia sudah banyak kali terjadi.
Sememangnya apabila anda berbisnes, setiap halangan pasti memudaratkan anda.
Jika anda memakai topi sebagai pemilik bisnes, anda akan menjalankan bisnes secara lebih terkawal dan matang. Apabila membuat sesuatu keputusan, fikirkan dan pentingkan juga tahap kesihatan anda.
Saya faham, semestinya anda ambil berat dan mahu curahkan yang terbaik untuk bisnes anda. Namun, kesihatan anda jauh lebih penting dan berharga.
Kesimpulan Karakter Usahawan Berjaya Yang Anda Perlu Follow.
Baiklah, cukup sampai di sini perkongsian saya.
Sebenarnya, tidak ada satu penilaian yang tepat atau formula dalam memandu seorang usahawan menuju ke menara sukses.
Anda mungkin mempunyai ciri-ciri usahawan secara peribadi yang dapat membantu meningkatkan kejayaan anda sendiri.
Setiap orang di dunia ini ada sumbangan tertentu. Sama ada diri anda tidak sesuai menjadi usahawan atau langsung tak berminat, tak ada salahnya.
Pada penghujung hari, setiap keputusan yang anda buat itulah yang mencorakkan kehidupan anda pada masa hadapan. Saya tiada hak untuk campur tangan.
Jadilah diri sendiri, kejar cita-cita yang diimpikan.
Selagi anda berada di landasan yang betul, saya yakin anda akan tenang dan menempuh hidup yang membahagiakan.