fbpx

Kenapa Tak Perlu Jual Produk Trending? Ini Sebabnya…

by Apr 14, 2020Mula Bisnes6 comments

Setiap hari, para pemilik bisnes dan bakal dropshipper berhadapan masalah yang sama, tak tahu nak jual produk apa.

Anda asyik fikir produk mana yang akan hit dan meletop. Macam mana nak jual produk trending supaya boleh untung besar?

Mari saya beritahu sesuatu. Anda tak perlu fokus untuk jual produk trending sahaja untuk berjaya dalam bisnes e-commerce. Kenapa?

Okey, hari ni saya nak cerita kenapa produk yang jualannya steady akan bawa kejayaan jangka panjang dan lebih baik untuk bisnes anda. Kenapa susah jika anda hanya fokus pada produk trending sahaja dan sebab apa mencabar untuk bina jenama yang tahan lama dalam pasaran jika anda hanya fokus pada produk trending.

Produk Tengah In/ Trending

Sebelum kita tengok pro dan kontra produk trending dan steady, kita belajar dahulu macam mana nak cari niche produk untuk anda jual. Macam mana kita boleh tahu mana satu produk trending dan yang mana ada permintaan jangka panjang.

Salah satu medium yang anda boleh gunakan adalah Google Trends. Melalui medium ini, anda boleh dapat beberapa maklumat:

Interest over time: Hasil carian terhadap masa (anda boleh pilih mahu lihat dalam 12 bulan, 5 tahun, dan sebagainya). Dari sini anda akan tahu jika tiba-tiba carian produk tinggi bermakna lebih selamat jika ia dikatakan sebagai produk trending.

Produk yang cariannya hampir sekata sepanjang tahun adalah dikategorikan sebagai produk steady, bermakna sentiasa ada orang cari.

Interest by region/city: Jika perlu, anda juga boleh lihat hasil carian mengikut demografi negeri atau bandar.

Topik berkaitan: Ini juga membantu anda melihat carian berkaitan produk. Dari situ, anda boleh rancang pelan pemasaran produk.

Permintaan/pertanyaan berkaitan : Daripada senarai, anda boleh lihat dan jangka keperluan pengguna terhadap satu-satu produk. Secara tidak langsung, anda dapat lihat big picture untuk produk berkenaan.

Setiap Perkara Ada Turun Naik

Jika anda fikir nak jual produk trending sahaja, ingat satu perkara. Ia mungkin popular sekarang dan ada banyak permintaan, tetapi tidak semestinya ia akan popular sampai bila-bila.

Memang betul, anda boleh jana untung besar apabila anda dah jumpa cara untuk pasarkannya kepada audiens. Tetapi anda tak boleh bergantung sepenuhnya pada produk trending untuk bisnes bertahan lama.

Anda pun tahu, benda trend ni biasanya sekejap sahaja. Sebab itu, anda kena ada produk lain yang jualannya steady.

Macam mana nak buat?

Satu, anda boleh pasarkan produk trending dan tarik pelanggan ke kedai online anda, yang di situ anda dah highlight produk yang steady tu siap-siap.

Kedua, anda boleh guna taktik pemasaran emel. Iklankan produk steady melalui emel untuk jana pembelian berulang daripada pelanggan yang dah beli produk trending.

Cari Target Pasaran Anda

Mencari audiens pembeli di kalangan pengguna yang berminat dengan produk anda bukan kerja mudah. Lebih-lebih lagi apabila anda baru mula buat dropship dan kali pertama nak buat kerja pemasaran.

Lebih sukar jika produk yang anda nak jual itu ada ciri-ciri unik dan bukan produk biasa yang ada di pasaran. Anda akan hadapi masalah untuk buat pemasaran sebab anda susah nak faham apa yang nak dijual.

Sebaliknya apabila anda jual produk biasa yang boleh kata semua orang nak. Macam baju-T lelaki contohnya, proses mencari audiens akan lebih mudah. Anda akan boleh belajar banyak melalui pengalaman jual produk ini.

Paling mudah, berapa kali anda nampak iklan baik melalui FB Ads, post Instagram, atau emel untuk produk ni? Jadi, anda dah ada bayangan idea macam mana nak pasarkan produk yang sama dan ia akan bantu anda dapat jualan.

Berbanding produk unik, anda akan susah nak pasarkan sebab anda tak boleh nak sesuaikan taktik dan skrip sama untuk produk itu.

Bina Jenama

Bagi anda yang sedang mencari cara untuk membina bisnes dropship yang tahan lama, penjenamaan adalah langkah yang sangat perlu.

Semasa membina jenama, ada banyak hal yang perlu difikirkan seperti warna tema dan logo. Jenama adalah sangat penting buat pemilik bisnes. Dan ia menjadi semakin penting kepada pembeli, terutamanya generasi muda.

Maka, dengan semakin banyak bisnes ecommerce yang dilancarkan setiap hari, pembeli mahu memastikan setiap sen yang dibelanjakan untuk membeli apa-apa produk berbaloi dan bermakna.

Bina Pelanggan Berulang

Pelanggan berulang adalah kawan baik bisnes yang maju. Kajian oleh Smile.io mendapati sekurang-kurangnya 40% daripada pendapatan tahunan sesebuah bisnes dijana melalui pembelian berulang.

40%, ini banyaks!

Nampak tak kenapa anda kena fikir macam mana nak dapat income lebih daripada pembelian berulang dan bukan hanya produk trending yang one-off?

Tapi, kalau anda hanya nak fokus untuk jual produk trending sahaja, adakah anda boleh jamin pelanggan akan datang balik ke kedai anda untuk buat pembelian sekali lagi?

Contohnya, katalah anda jual fidget spinner. Adakah pelanggan akan cari anda semula untuk beli spinner yang sama sekali lagi? Atau mereka akan pergi begitu sahaja sebab dah jumpa apa yang dicari? Maka hubungan mereka dengan jenama bisnes anda hanya sampai situ sahaja.

Ini rugi untuk jangka panjang.

Jika produk anda dalam kategori beli dan belah (one-and-done), anda kena fikirkan cara-cara untuk tarik pelanggan ke kedai anda semula.

Kesimpulan Produk Trending

Harapnya entri kali ini bermanfaat. Saya bukan nak kata produk trending ini tak bagus. Ia ada kedua-duanya. Boleh jadi bagus dan boleh jadi tidak.

Memang tidak dinafikan produk trending akan jana income besar jika anda pandai manfaatkan peluang yang ada dengan taktik pemasaran yang power.

Apa yang penting, saya nak tekankan bahawa tak semestinya anda kena jual produk trending untuk berjaya sebagai pemilik bisnes ecommerce. Gabungkan kedua-dua produk, trending dan steady adalah pendekatan yang bagus untuk bina bisnes jangka panjang.

Apa pendapat anda?