Jam terus berputar laju. Tanpa sedar dah masuk tahun 2021. Tetapi ia tidak bermakna sudah terlambat untuk anda ambil langkah pertama dan ubah hidup.
Anda mahu belajar berniaga?
Sedarkah anda, ada banyak peluang dan tawaran bisnes yang boleh diceburi?
Semuanya ada di hujung jari dan depan mata anda. Tinggal anda hanya perlu teliti dan buat keputusan baik-baik dalam memilih bisnes yang mahu dibuat.
Baik, mari kita teropong potensi bisnes yang ada di pasaran. Mana tahu ada yang sesuai dengan jiwa anda!
Perunding
Anda ada kepakaran dalam bidang tertentu?
Manfaatkan pengalaman dan pengetahuan anda dengan berkongsi kepakaran itu pada bayaran berpatutan.
Peluang bisnes berkaitan dengan khidmat nasihat ini sudah lama dimulakan dalam beberapa bidang. Banyak pihak yang perlukan panduan begini.
Contohnya, teknik pemasaran berkesan di Facebook atau membawa klien ke pusat membeli-belah dan membantu mereka memilih pakaian dan pilihan make up yang sesuai dengan imej.

Anda mahir dalam ilmu penulisan? Jurulatih penulisan juga diperlukan.
Anda boleh membuka kelas, buat sesi coaching satu dengan satu, turunkan ilmu mengenai teknik menulis.
Menjadi perunding ini bukan sahaja memberi peluang meraih pendapatan, tetapi juga kepuasan kerana dapat membantu orang lain.
Jadi apa skil yang anda ada? Fikirkan mulai sekarang!
Freelance
Menjalankan bisnes secara freelance adalah satu lagi alternatif menarik.
Berbeza dengan perunding, freelancer bukan sahaja berkongsi ilmu malah meluaskan kepakaran untuk membangunkan pelbagai cabang bisnes.
Sekarang pun sudah ramai yang mencari freelancer untuk pelbagai tugasan.

Penyunting, akauntan, analisis data, jurufoto, transkrip dokumen, jurumekap, reka grafik dan macam-macamlah. Segalanya hanya di hujung jari!
Nak tengok lebih dekat macam mana freelancer bekerja?
Lihat sahaja majlis perkahwinan dalam keluarga anda. Ada jurufoto dan jurumekap dipanggil? Sambil-sambil mereka sediakan segala setting, tak salah anda ambil kesempatan tanya pengalaman mereka.
Servis Percetakan
E-commerce atau E-Dagang adalah peluang bisnes terbaik masa kini.
Penjualan secara online semakin berkembang pesat di Malaysia. Atas sebab yang sama dunia percetakan juga berkembang dan servis Print On Demand (POD) mula mendapat perhatian.
Ia peluang yang amat berbaloi diceburi. Sekarang pun sudah makin banyak pihak yang mahu cetak produk mereka sendiri, khususnya buku.

Bayangkan klien anda boleh cetak buku dalam jumlah kecil, sekecil 50 unit sahaja! Ini tentulah tawaran yang sangat menggiurkan!
Bukan buku sahaja, baju, sticker atau apa-apa sahaja yang berkaitan percetakan pada jumlah tertentu, ini adalah servis yang boleh disediakan melalui teknik POD. Pilih sahaja anda mahu fokus yang mana.
Menyediakan servis ini bermakna terlibat dari fasa membuat rekaan produk, menentukan proses cetakan, pakej (jumlah cetakan) dan seterusnya penghantaran kepada pelanggan.
Teknik POD membuatkan sesuatu produk itu istimewa. Anda menjual produk unik yang tiada dalam pasaran. Tepuk dada, tanyalah kemahuan jiwa.
Blogging
Umum mengetahui, blogging adalah peluang bisnes yang popular dan kekal relevan.
Mengapa? Sebab ia memiliki banyak punca dan sumber pendapatan.
Anda boleh menjana keuntungan daripada pemasaran affiliate atau influencer, pengiklanan, penajaan, informasi produk serta menyediakan konten premium.

Seorang Blogger yang bijak akan fokus mewujudkan konten bagi membina website traffic.
Content atau copywriting yang dibina bukan sahaja perlu ada isi bermanfaat, tetapi juga bersifat mesra pengguna.
Promosi blog dibuat menggunakan search engine optimization (SEO) dan media sosial untuk meraih pelawat baru setiap masa.
Mahu cuba? Mula sekarang dan pilihlah konsep blogging yang menarik dan konsisten.
Pelaburan Hartanah
Pelaburan hartanah sebenarnya agak berisiko kerana kosnya super besar selain harga rumah yang jarang naik.
Namun, jika pelaburan dijalankan dengan cara yang betul, tidak mustahil anda mampu mengaut keuntungan berlipat ganda.
Bunyinya macam peluang bisnes untuk orang yang ada poket tebal. Anda boleh juga melakukannya, selagimana anda ada simpanan yang mencukupi untuk bermula.
Set minda anda, lakukan jual dan beli aset secara sihat tanpa menambah hutang. Jangan hanya bergantung kepada satu aset sahaja. Hasil pelaburan dapat dilihat apabila kita memiliki banyak hartanah.

Ada yang boleh disewakan, manakala ada yang boleh dijual ketika permintaan tinggi.
Bagi mengelakkan cukai, laburkan semula wang jualan tadi ke atas hartanah yang lebih besar nilainya. Jual rumah dan beli rumah lagi.
Ternyata, pelaburan hartanah adalah peluang bisnes yang berharga.
Pastikan sahaja anda bermula pada track yang betul. Mula hubungi ejen hartanah anda dan risik info semasa.
Bisnes Cuci-cuci
Nak cuci apa pula ni? Cuci kereta ke? Tidak, saya nak bercakap pasal bisnes cuci rumah orang.
Seriuslah?
Ya, saya tak tipu. Apabila sebut bisnes cuci-mencuci ni, terus saya teringat Cuci-cuci Services dalam filem Cuci lakonan Afdlin Shauki. Anda nampak apa yang saya nampak?
Ya, bukan hotel sahaja ada servis bersihkan bilik. Rumah anda pun boleh ada servis yang sama, apabila anda menghubungi pihak yang betul.

Nak pula, penduduk di bandar kebanyakannya sibuk bekerja dan tiada masa untuk membersihkan rumah.
Malam, semua dah kepenatan selepas seharian mencari rezeki. Balik rumah mestilah nak berehat, tapi apabila lihat keadaan rumah tahap stress naik semula. Tak sejuk langsung tengok ruang rumah yang tak rapi.
Maka khidmat housekeeper atau cleaner sememangnya dicari. Pasaran panas!
Ini peluang bisnes yang tidak harus dilepaskan. Mulakan dengan membuat kajian penempatan, mendapatkan pelanggan, mencari pekerja dan seterusnya teknik pemasaran berkesan.
Ada syarikat yang menggunakan sistem bayaran mengikut jam bekerja. Ada juga yang berpandukan kiraan setiap hujung minggu. Apa pun, semua ini bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak juga.
Tak mahu fikir jauh sangat?
Tinjau sahaja kawasan perumahan anda.
Ada berapa rumah dalam satu lorong? Jika apartmen, ada berapa tingkat dalam satu blok?
Nampak sumber pelanggan anda?
Jika tak mahu terus mula dengan servis mencuci, anda boleh sahaja bermula dengan tawaran servis melipat baju. Fuh, ini pasti mak-mak suka. Anda akan jadi kesayangan!
Selamat Pagi Cikgu!
Anda suka dan cukup sabar untuk jadi tenaga pengajar?
Jika ya, ada peluang bisnes yang sesuai untuk anda ceburi iaitu menjadi tutor. Ia pekerjaan dan bisnes yang tidak asing di kalangan masyarakat.
Ramai orang sukakan ilmu pengetahuan. Ini menjadikan bisnes tutoring sentiasa segar dan relevan.
Sekiranya anda memikirkan untuk memiliki bisnes tutoring, carilah pelajar universiti atau kolej yang mampu mengajar pelajar lebih muda.
Sesuaikan kadar bayaran untuk tenaga pengajar, sesuai dengan kelayakan serta pengalaman mereka.

Perkara paling penting tentulah mencari bakal pelanggan.
Tentukan fokus anda. Sekolah rendah, menengah, subjek, atau anda mahu fokus kepada mengaji dan tajwid?
Bisnes akan berkembang seiring dengan pertambahan jumlah pelanggan.
Sebagai permulaan, gunakan sahaja ruang yang ada seperti ruang tamu rumah sendiri.
Selepas bisnes semakin stabil, mungkin boleh difikirkan untuk menyewa dan membuat pelaburan yang lebih besar. Menyewa bilik pejabat untuk tempoh beberapa jam juga masih menjimatkan.
Servis Influencer
Sekarang ni kita dengar macam-macam istilah dan kategori influencer.
Ada instafamous, blogger, vlogger, YouTuber, banyak lagilah.
Anda suka bercakap depan kamera, belajarlah jadi vlogger dan instafamous. Gemar menulis, fokus dengan blog.
Manfaatkan kemahiran anda untuk tambah pengikut di media sosial.
Sebabnya peluang bisnes yang mengikut peredaran zaman melibatkan pemasaran influencer pun semakin rancak.

Sifir mudahnya, manfaatkan jumlah pengikut di media sosial anda dan mula cipta profit sendiri.
Anda boleh bekerjasama dengan pemilik bisnes bagi mempromosikan produk mereka. Perjanjian bersama program affiliate juga boleh dibuat sekiranya sesuai dengan audien anda.
Apabila pengikut dan audien makin bertambah, cambahkan peluang baru dengan merancang untuk fokus kepada beberapa akaun media sosial.
Setiap akaun dikhaskan untuk kategori pengikut dan pemasaran yang berbeza.
Suka?
Bertindaklah sekarang dan mula mengumpul pengikut setia!
Pemandu
Anda pemandu yang cekap?
Ada kereta sendiri yang umurnya belum lebih lima tahun? Lagi kurang lagi bagus.
Tak ada masalah hadap jalan sesak hari-hari?
Anda ada ketiga-tiga ciri di atas? Mari manfaatkannya sebagai peluang bisnes.
Ya, mungkin anda sesuai menjadi pemandu. Yang paling popular, tentulah Grab.

Jika anda mahu jadikan kerja ini pilihan tetap atau sekadar mengisi kebosanan, terpulanglah. Kerjaya sebagai pemandu Grab sememangnya popular sekarang.
Walaupun ada yang kata peluang ini hanya bersifat sementara, tetapi siapa yang boleh jangka masa depan dengan tepat?
Cepat bertindak, anda mampu meraih keuntungan yang sama. Terus sahaja mendaftar ke syarikat Grab, Mycar, EzCab atau mana-mana syarikat servis kereta yang lain.
Penghantaran Makanan
Apabila anda search food delivery, pasti ada banyak servis yang muncul di Google.
Yang popular di kalangan netizen ialah Grab Food dan Food Panda. Saya percaya, anda juga pernah menggunakan servis penghantaran ini.
Penghantaran makanan biasanya dibuat menggunakan motor, sebab lebih mudah dan pantas.
Tetapi nanti sekejap.
Saya tidak bercakap mengenai peluang menjadi penghantar.

Dari sudut bisnes, ada ruang yang lebih besar untuk anda lihat. Anda ada bisnes makanan sendiri? Ia boleh jadi restoran atau sekadar gerai di tepi jalan.
Sebagai contoh, gerai anda menjual makanan ringan seperti kentang goreng dan burger. Dengan wujudnya servis menghantar makanan, produk anda akan lebih mudah sampai ke tangan pelanggan.
Bisnes akan terus maju.
Gerai kosong tidak bermakna anda tiada pelanggan. Boleh jadi pada masa yang sama notifikasi daripada Food Panda dan Grab Food tak berhenti masuk ke telefon anda!
Penyewaan Ruang Bilik di Airbnb
Satu bisnes gaya baru yang menarik adalah memiliki aset ruang di Airbnb.
Namun mencari bakal pelanggan untuk menyewa seluruh unit atau sebahagian bilik saja adalah cabaran besar dalam bisnes kategori ini.
Apa yang boleh dibuat?
Kecilkan skop pemasaran. Pelancong suka apabila dapat rasa pengalaman local.
Maka, tawarkan suasana itu kepada mereka. Mereka juga mahu merasai pengalaman berbeza, jadi tawarkan ruang-ruang itu kepada mereka.

Contohnya, anda boleh sediakan kediaman dengan rekaan tradisional Melayu, pemandangan lawa, atau ada ruang menyeronokkan untuk anak-anak.
Harga sewaan biarlah hampir sama tahap dengan rate hotel. Sebagai pemilik bisnes, pastikan pelanggan berpuas hati dengan servis yang disediakan.
Jemput dari stesen LRT berdekatan, bantu angkatkan beg yang berat, maklumkan kedai atau tempat makan terdekat yang sedap, semua itu termasuk dalam servis tambahan yang akan memikat pelanggan untuk beri rating tinggi.
Jika ada yang memilih untuk menyewa selama sebulan, semestinya profit dapat ditingkatkan berbanding hari biasa.
Membuka Food Truck
Kebanyakan pengusaha bersemangat apabila bercakap tentang bisnes makanan. Mereka berasa terinspirasi dan berimpian membuka restoran.
Namun apabila kadar sewa yang terlalu tinggi, persaingan sengit di antara pengusaha, bisnes yang menjadi impian itu akhirnya gagal. Banyak bisnes yang sudah gulung tikar walaupun usianya belum mencecah setahun.
Membuka Food Truck mungkin antara pilihan terbaik dan lebih selamat.
Kos memiliki sebuah Food Truck tidaklah semahal kos menyewa lot di bangunan. Dengan Food Truck anda bebas berpindah lokasi dan mendekati pelanggan.

Selain itu, semestinya menu makanan boleh dicipta dan dinovasikan. Peluang menjadi viral pula sentiasa terbuka. Di karnival atau acara besar juga khidmat Food Truck semakin diperlukan.
Apa pun, pastikan harga makanan setanding dengan kualitinya. Cita rasa pengguna semakin besar dan semuanya makin pandai mengkritik.
Semua ini pasti menyumbang kepada jatuh bangun bisnes. Maka jadilah pengusaha makanan yang sentiasa peka dengan permintaan dan keperluan pelanggan.
Dropshipping
Semuanya menarik, tapi macam mana nak buat kalau poket saya nipis? Saya nak ubah hidup, tapi modal yang ada bukan besar mana.
Takkanlah orang banyak duit saja yang boleh ubah hidup mereka?
Oh, mestilah tidak! Siapa kata semua bisnes perlukan modal besar? Mari saya kongsi satu bisnes yang tak perlu modal. Kalaupun perlu, anda hanya perlu laburkan dalam jumlah minimum sebagai yuran komitmen. Itu sahaja.
Nak tahu? Teruskan membaca.
Antara peluang hebat yang sentiasa mengetuk pintu rumah anda, semestinya dropshipping. Bisnes ini sesuai buat anda yang mahu buka langkah pertama.
Bagi yang belum tahu, menjadi dropshipper bermakna anda membantu mempromosi dan menjualkan produk tertentu. Selebihnya terserah kepada syarikat pengeluar untuk membuat pembungkusan dan penghantaran.
Sekarang ini ada pelbagai jenis produk seperti tudung, beg, baju, barangan make up, permainan kanan-kanak, buku dan banyak lagi yang sudah menggunakan kaedah Dropshipping.
Komisyen yang diberikan juga berbeza-beza tangga bayarannya.
Ada surirumah yang dapat pergi melancong ke luar negara, hasil tabungan membuat Dropshipping. Belanja rumah tak payah cakaplah, pasti banyak yang beres.
Apa tunggu lagi? Bertindaklah dan memanfaatkannya!
Baca Juga : Panduan Lengkap Mula Bisnes Dropship Online
Kesimpulan Tentang Peluang Bisnes Tahun 2020
Peluang bisnes yang mampu mengubah kehidupan bergantung kepada pilihan sendiri. Peta hidup anda, seharusnya andalah yang mencorakkannya.
Langkah pertama untuk memulakan bisnes adalah yang paling penting.
Buat keputusan mengikut naluri, kepakaran dan minat anda. Jika anda rasa perlu, dapatkan nasihat orang yang sudah masuk dalam bidang berkenaan.
Semoga senarai ini serba sedikit dapat dijadikan panduan bersama. Selamat menyahut cabaran berbisnes dan terus positif!