Tidak dinafikan, ada kemahiran bisnes yang kadang-kadang kita tak tahu.
Tetapi apabila kita sudah memilih mahu menjadi usahawan, lagi-lagi jika menjadi usawahan dropship e-commerce, salah satu usaha yang perlu ada adalah menambah skil sendiri dan pasukan.
Lebih-lebih lagi apabila bisnes berada pada fasa startup.
Masa ini, usahawan perlu pakai banyak topi, pantau dan buat sendiri banyak perkara melibatkan bisnes.
Bagaimana mahu membangunkan skil bisnes?
Ada tiga cara yang paling top:
–Cuba Jaya (Trial and Error)
Dalam mana-mana situasi, cara paling cepat untuk tahu hasil adalah dengan melakukannya.
Contohnya, anda akan tahu lebih banyak mengenai rakaman video untuk saluran YouTube apabila anda membuatnya sendiri berbanding hanya membaca daripada perkongsian orang lain.
Apabila dah buat, baru anda tahu cabaran yang perlu dihadapi waktu merakam video pertama.
Malu, segan, tak reti, ayat berterabur, banyak filler, salah sana sini, gagap dan macam-macam lagi.
Banyak yang kurang dan perlu dibaiki tetapi dari situlah anda akan belajar banyak perkara dengan lebih cepat.
–Belajar Daripada Orang Lain
Jika terus terjun dan buat sendiri, pasti banyak dinding yang anda akan langgar.
Namun, anda boleh kurangkan peratusan itu dengan belajar daripada orang lain yang sudah melakukannya.
Ya, ada perkara yang lebih baik jika dipelajar daripada orang lain khususnya yang melibatkan risiko besar kepada perniagaan.
Mahu pergi kursus mana, belajar dengan siapa?
Ada banyak kursus untuk usahawan di luar sana. Anda tinggal pilih mahu ikut dan praktik yang mana. Google sahaja dan jangan lupa, lihat komen dan testimoni orang lain.
Jika mahu belajar cara memulakan bisnes dropship e-commerce, boleh belajar daripada Panduan Fast Track Ecom.
-Cari Corak
Melihat dan mencari corak daripada perniagaan orang lain, khususnya usahawan dropship e-commerce yang sudah berjaya adalah satu lagi cara untuk membangunkan kemahiran bisnes.
Saya ambil sekali lagi contoh video YouTube tadi. Bagaimana nak buat video yang baik?
Hal yang tidak keluarkan belanja, sudah pastilah anda perlu habiskan lebih banyak masa dan tenaga.
Cari dan tonton video yang ramai viewers dan saluran yang banyak subscribers.
Dari situ anda kaji habis-habis apa yang dibuat; cara bercakap, pemilihan topik, konten, interaksi, bahasa tubuh, pakaian dan macam-macam lagi.
Anda ada guna ketiga-tiga cara?
Bagus, anda sudah berada di laluan yang betul.
Jadi, apa skil yang usahawan perlu ada?
Mari semak satu persatu dan sediakan ruang, masa dan bajet untuk belajar jika masih belum cukup.
1. Pemasaran
Kemahiran paling penting sebagai usahawan dropship e-commerce adalah pemasaran.
Sebab sekalipun anda ada staf yang sudah dibayar untuk melakukannya, pemilik bisnes tetap perlu ada kemahiran ini.
Tujuannya supaya anda boleh mencari pelanggan baru, tambah pengikut di media sosial, tulis deskripsi web yang menarik perhatian, rangka promosi dan sebagainya.
Dengan mengetahui semua ini, baru anda boleh sediakan S.O.P (Standard of Procedure) untuk staf dan anda tahu di mana nak tambah baik sekiranya ada isu timbul.
Dalam tahun 2020, pemasaran ini termasuklah melalui emel, content marketing, iklan, dan pemasaran menggunakan Instagram, TikTok, YouTube, dan pelbagai platform media sosial lain.
2. Jualan
Selain pemasaran, usahawan dropship e-commerce perlu tahu cara-cara menjual produk sendiri kepada pelanggan.
Dan apabila pelanggan keliru mahu buat pilihan, anda tahu cara terbaik untuk membantu dan memujuk mereka.
Tahu membezakan hard sales dan soft sales juga adalah skil yang usahawan perlu tahu cara dan bila mahu digunakan. Sebagai contoh, katalah anda jual produk aksesori ataupun lipstick.
Apabila nak buat hard sales anda beritahu terus kepada pelanggan bahawa produk sekian dijual pada harga istimewa hanya dalam tempoh tertentu.
Jika mahu buat soft sales, anda boleh sediakan sampel produk pada saiz mini atau sediakan panduan memilih aksesori yang sesuai dengan jenis atau warna kulit.
3. Khidmat Pelanggan
Berhadapan dengan aduan, memproses refund, menjawab pertanyaan dan permintaan serta menguruskan maklum balas, semuanya melibatkan servis kepada pelanggan.
Sebagai usahawan dropship e-commerce, ini adalah skil yang anda sendiri perlu mahir.
Fokus utama khidmat pelanggan, memastikan pelanggan gembira berurusan dengan kedai online anda sekalipun apabila mereka mengalami pengalaman tidak gembira semasa melakukan belian pertama.
Matlamat anda, pujuk mereka tanpa sedar supaya menjadi superfan.
Menjadi tanggungjawab anda untuk membina hubungan baik dengan pelanggan sebelum, semasa dan selepas pembelian dibuat.
Contohnya, apabila anda menerima terlalu banyak aduan mengenai kualiti sesuatu produk, anda sediakan penyelesaian dengan mendapatkan pembekal baru yang lebih baik.
Melalui cara ini, pelanggan akan mendapat mesej bahawa anda melakukan yang terbaik untuk mereka.
4. Perakaunan
Skil dan pengetahuan mengenai akaun dan kewangan adalah kritikal kepada usahawan dropship e-commerce.
Memang ia akan mengambil masa untuk mahir, tetapi tetaplah anda perlu belajar skil ini selari dengan perkembangan bisnes.
Mengapa?
Sebab anda perlu tahu untuk rangka perbelanjaan, pelaburan dan forecast sebab anda perlu bayar cukai.
Selain itu anda akan tahu amaun yang perlu dibelanjakan untuk pemasaran, penggajian pekerja, pengurusan, dan segala hal yang perlu untuk kelangsungan syarikat.
Baru anda boleh jadi bos yang cekap dan tahu duit keluar masuk akaun sendiri. Dapat juga elak situasi ditipu akauntan, sebab anda tahu cara nak semak laporan akaun.
Paling penting, anda tahu cara untuk menjana keuntungan melalui pelaburan.
5. Kebolehsuaian
Untuk bisnes berkembang, usahawan dropship e-commerce perlu ada skil untuk beradaptasi dengan keadaan semasa.
Sekalipun anda memilih mahu menjadi dropshipper, anda tetap perlu tahu situasi semasa dan menyesuaikan bisnes dengan keadaan yang ada.
Sebagai contoh, Covid-19 menyebabkan gangguan pada stok produk. Banyak syarikat dropship menghentikan jualan.
Pakej tidak dihantar sehingga berbulan-bulan lamanya disebabkan pelbagai masalah termasuklah halangan daripada negara China sendiri.
Untuk survival bisnes, mahu atau tidak anda perlu cari pembekal baru daripada negara lain.
Sama ada daripada rantau Asia Tenggara sendiri ataupun terus dapatkan bekalan daripada pembekal di Amerika Syarikat.
6. Pengurusan Masa
Berdisiplin dengan masa adalah skil pengurusan yang perlu dikuasai oleh pemilik bisnes.
Ramai usahawan dropship e-commerce baru yang masih mempunyai pekerjaan hakiki dan bisnes dijalankan secara separuh masa.
Dah penat kerja, kena sediakan masa untuk jalankan bisnes sendiri pula.
Sukar, namun anda tetap perlu mencari jalan keluar.
Bagi perniagaan online khususnya e-commerce, menjadi tugas anda untuk memastikan tempahan mula diproses pada hari yang sama.
Lebih-lebih lagi apabila produk akan dihantar daripada luar negara, maka anda tidak boleh berlengah.
Ingat satu perkara sahaja, para jutawan dan usahawan berjaya lain turut mempunyai 24 jam seperti anda. Apabila mereka boleh menguruskan masa, sudah tentu anda pun boleh melakukannya.
7. Keazaman
“Jatuh tujuh kali dan bangun semula lapan kali.”
Kita selalu dengar ayat ini diulang dan ini adalah skil yang usahawan perlu ada.
Ia memastikan usahawan kekal bermotivasi sekalipun ketika bisnes menghadapi masalah dan kesukaran.
Dengan sikap ini jugalah anda akan belajar untuk mengabaikan para haters, komen dan kritikan skeptikal yang tidak membantu.
Anda tahu matlamat bisnes yang nak dicapai, maka anda bangunkan keazaman untuk menggapainya sebab ia akan menjadi penguat semangat anda sepanjang jalan.
Bak kata Og Mandino, penulis buku The Greatest Salesman in The World, “Kegagalan tak pernah menjatuhkan saya selagi keazaman saya untuk berjaya cukup kuat.”
8. Banyak Sumber
Menjadi usahawan dropship e-commerce yang mempunyai banyak sumber adalah skil yang mahal.
Tahu banyak lubang dan jalan, anda akan boleh selalu mencari jalan keluar. Anda tahu siapa yang boleh dihubungi untuk mana-mana situasi.
Memiliki banyak sumber bermakna anda tahu bagaimana, bila, dan di mana untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Apabila anda skil ini, lebih mudah untuk anda menjadi usahawan yang tidak bergantung kepada orang lain.
Anda selalu tahu apa yang perlu dibuat untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
9. Kreatif
Kreatif adalah kemahiran yang diperlukan bagi memulakan perniagaan.
Menghasilkan konten untuk laman web syarikat, mengeluarkan idea-idea yang lain daripada orang lain serta membuat kempen pemasaran, kesemua ini memerlukan daya kreativiti.
Pada tahun 2020 ini, menjalankan perniagaan dalam format dan gaya stereotaip akan membuatkan anda berhadapan risiko yang tinggi.
Sebagai contoh, iklan dalam bentuk teks akan terpaksa berhadapan dengan saingan konten menarik daripada YouTube dan TikTok. Maka anda terpaksa kreatif bagi menarik perhatian pelanggan.
Di mana anda boleh belajar semua ni?
Cari sahaja di Youtube dan TikTok, sangat banyak idea kreatif yang anda boleh gunakan.
10. Strategi
Gagal merancang, bermakna anda merancang untuk gagal.
Mana-mana bisnes akan perlu kemahiran menyusun dan merancang strategi.
Baik strategi jangka panjang ataupun pendek. Membuat strategi jangka panjang akan membolehkan bisnes anda bertahan beberapa bulan.
Memiliki kemahiran ini bermakna anda mampu mempertimbangkan kesan jangka panjang untuk keputusan jangka pendek yang dibuat.
Anda juga dapat melihat isu yang berpotensi untuk timbul serta menyediakan penyelesaian lebih awal. Ya, mencegah sebelum ia berlaku.
Selain itu, anda tahu risiko yang berbaloi untuk diambil dan yang mana harus dielakkan.
Anda tahu di mana anda akan berada dalam tempoh lima, sepuluh atau 20 tahun akan datang sebab anda sudah merancang semuanya.
Kesimpulan 10 Skil Bisnes Yang Usahawan Dropship E-commerce Perlu Ada Pada Tahun 2020
Setiap skil yang anda bangunkan akan membantu kejayaan anda sebagai usahawan.
Ambil masa anda untuk belajar dan mahirkan skil ini supaya anda dapat membina jenama yang kukuh.
Bukan anda sahaja, sebagai pemilik bisnes anda juga perlu menyediakan latihan yang mencukupi kepada staf.
Daripada 10 skil yang saya kongsi hari ini, skil mana yang anda sudah mahir?