Nama yang bagus mewakili imej atau menggambarkan bisnes kita. Bagaimana mahu mendapatkan nama bisnes yang terbaik?
Hmm… ia tidak semudah yang difikirkan. Ia mungkin membuatkan anda termenung, perah dan bilas otak hingga sebulan lamanya!
Ya, saya sendiri sudah mengalaminya. Secubit stres pasti ada!

Kenapa susah sangat?
Kebiasaannya, para usahawan memasang impian yang tinggi dan melakar pelan bisnes yang hampir sempurna. Semestinya mereka mahu nama bisnes yang catchy, mudah disebut dan melekat dalam memori pelanggan.
Nama bisnes yang bukan ‘biashe-biashe’.
Apa pun, perkara ini sememangnya serius dan memilih nama untuk bisnes akan menjadi 10 kali lebih mudah jika anda mengikut panduan yang betul.
Oleh itu, saya mahu kongsikan beberapa tip daripada usahawan yang sudah berpengalaman. Anda sudah bersedia?
Kita sama-sama belajar teknik bagi menghasilkan nama bisnes online terbaik.
Jom kita lihat senarai apa perkara penting yang perlu dipertimbangkan dan relevan untuk produk anda.
Apa Kriteria Nama Bisnes Yang Hebat?
Menamakan bisnes bukanlah sesuatu yang formal atau terbatas. Tiada formula yang tepat.
Anda perlu berikan tempoh dan ruang untuk berfikir, kerana ia adalah satu proses yang kreatif.
Berfikir secara kreatif dapat menyelamatkan anda dari memilih nama yang buruk.
Anda pasti tidak mahu nama buruk yang boleh menjejaskan reputasi bisnes, apatah lagi bisnes anda baru berada dalam fasa start up.
Percayalah cakap saya dan teruskan membaca.
Ringkas dan Straightforward
Secara umumnya apabila memulakan apa saja bisnes, kunci utama adalah memastikan segalanya berlangsung dalam keadaan simple dan straightforward.
Menamakan bisnes juga tidak terkecuali, gunakan kunci yang sama.
Kenapa?
Prinsipnya mudah saja. Apabila kita mahu nama yang sedap disebut, mudah terpahat di minda dan di hati khalayak, nama itu haruslah senang untuk dihafal.
Elakkan perkataan yang dieja secara berbelit. Lainlah jika anda menjual barangan dari Jerman. Ia mungkin disengajakan bagi memberi faktor identiti.
Menurut pandangan pakar pemasaran, sesuatu produk atau jenama itu memerlukan tujuh kali penampilan di khalayak.
Untuk pelanggan melihat atau berhubung dengan bisnes anda, selepas itulah baru ia dapat mewujudkan daya pengaruh tertentu.
Hmm, tujuh kali bukannya jumlah yang kecil.
Tepuk dahi!

Ini bukan mimpi. Anda perlu menjalankan tujuh kali pengiklanan di Facebook, atau tujuh pos bersifat copywriting di Instagram.
Dan, menggunakan nama bisnes yang rumit akan menyusahkan ia untuk dikenali.
Pelanggan fikir banyak kali apabila membaca nama syarikat anda dan akhirnya mereka pilih tidak mahu ingat.
Tidak mustahil anda kehilangan pelanggan sebelum urusan jual-beli bermula!
Siapa yang rugi?
Oleh itu, memang tidak mengejutkan apabila kebanyakan jenama terbesar di dunia biasanya memilih hanya satu perkataan mewakili bisnes mereka. Mereka tidak mahu berlebihan, kerana mahu kekal dalam ingatan audien.
Pilihan Nama Yang Evergreen
Sebagai bisnes pemula, anda mungkin memiliki pelbagai perancangan seperti membuat dekorasi kedai, merasmikan kedai, meraih jualan pertama atau mencapai keuntungan RM1,000 yang pertama.
Pelan yang bagus dan menarik.
Namun, apa pula harapan selepas itu?
Semestinya anda sasarkan kejayaan yang lebih besar, contohnya menjadikan jumlah seribu itu sebagai profit tetap setiap bulan.
Secara simboliknya, inilah faktor yang menyebabkan anda perlu berfikir masak-masak untuk menamakan bisnes. Fikirkan sejenis nama yang sesuai dan selari dengan perkembangan bisnes pada masa hadapan.
Nama yang evergreen. Mari lihat dari perspektif yang lebih besar.
Contohnya, mungkin nama “Rantai Loceng Kucing Comel” boleh mewakili perniagaan anda yang masih kecil, baru mula bertatih.
Tetapi, anda ada pilihan untuk meletakkan nama bisnes yang lebih baik seperti, “Oh My Kucing” atau “Dunia Si Comel” adalah nama yang memberi persepi berbeza.
Bisnes akan berkembang seiring dengan nama perniagaan anda.
Fikirkan semula, anda tentu mahu menambah beberapa produk lain pada masa akan datang.
Untuk itu anda wajib sediakan senarai pilihan nama yang lebih panjang dan berkualiti.
Google – Cari Nama Yang Available
Proses ini sememangnya penting dan perlu dilakukan. Taip saja di kotak carian Google nama kesukaan anda dan lihatlah keputusan yang terpapar.
Pastikan status nama pilihan itu available, tidak dimiliki sesiapa. Anda tentu tidak mahu disaman apabila berkaitan dengan akta hak cipta, salah guna nama bisnes orang lain.
Available ini ada kaitan dengan nama domain bisnes.
Nama domain itu apa?

Secara mudahnya, nama domain adalah nama laman web. Kepada usahawan yang mahu masuk ke pasaran audien berbahasa Inggeris, saya cadangkan untuk memiliki domain dot com bagi jenama bisnes anda.
Kenapa ya?
Domain yang menggunakan dot com lebih dipercayai oleh para pelanggan.
Sejak mata kita mula mesra internet, kita sudah familiar dan sering melihat dan lebih percaya dengan domain jenis ini. Kebanyakan jenama terkenal juga memilih domain dot com.
Sekiranya anda mahu memeriksa status tersedia nama domain, anda boleh melakukannya di internet. Salah satu yang saya kerap guna adalah di Namecheap.
Berapa harga sebuah domain, cara untuk membeli atau install, semua info terperinci ada di sana.
Oh ya, jangan lupa untuk semak dan selarikan nama bisnes dengan akaun media sosial anda juga. Pastikan nama Facebook dan Instagram turut terjamin statusnya.

Untuk semak availability domain nama bisnes anda di semua tempat, anda boleh semak di laman web KnowEm.
Maksud Yang Tersirat
Setakat ini macam mana, banyak tip yang anda sudah belajar?
Bertenang dan tarik nafas, saya masih ada satu lagi tip untuk anda.
Baiklah, seterusnya saya mahu mencadangkan supaya anda mencari nama bisnes yang bermakna. Nama yang luar biasa, tetapi tidaklah terlalu abstrak.
Jangan risau! Anda mesti yakin. Satu perkataan pun boleh.
Tahukan anda bahawa nama syarikat Nike adalah inspirasi daripada ‘Greeks goddes of victory’ yang melambangkan kepantasan, kekuatan dan kejayaan.

Baiklah, saya akan kongsikan satu lagi contoh.
Sejujurnya, hampir mustahil untuk ditemui seseorang yang tahu simbolik sebenar di sebalik terciptanya jenama Nivea, produk penjagaan kulit. Ia berasal daripada perkataan Latin, iaitu Niveus yang juga bermaksud ‘Snow White’.
Menarik dan tertarik, kan?
Apa pun, bukanlah niat saya untuk menyeksa minda anda sehingga ke tahap perlu menggali lubang arnab demi mendapatkan nama bisnes yang istimewa.
Cukuplah sekadar anda tidak terlalu rigid.

Nama seperti ‘Kedai Farmasi Abu’ seharusnya dielakkan.
Lihat contoh yang ada seperti Guardian dan Caring Pharmacy. Perkataan ini melambangkan fungsi kedai itu, menjual barang penjagaan diri dan kesihatan.
Nama bisnes yang berbentuk sebegini lebih meninggalkan kesan emosi, ia akan tersimpan dalam memori para pelanggan untuk jangka masa panjang.
Contoh Nama Bisnes Yang Hebat
Baiklah, kita sudah mengetahui tip-tip penting bagi mencipta nama bisnes, sekarang tibalah detik untuk mempersembahkan dua jenama yang hebat setanding namanya.
Ini adalah contoh syarikat yang bijak menjenamakan produk, menepati ciri-ciri yang saya sebutkan tadi.
Anda boleh menilai sendiri, bagaimana sesuatu jenama yang sudah berjaya mengambil berat tentang pemilihan nama paling sesuai untuk bisnes mereka.
FashionValet
Membaca nama saja sudah terbayang produknya, bukan?
Ya. Pengenalan yang jelas dan nyata, sejernih kristal.
FashionValet merupakan sebuah portal bisnes online yang mengumpulkan pelbagai jenama dan rekaan pakaian terkini, idaman ramai pelanggan.

FashionValet terkenal di kalangan mereka yang gemar berfesyen. Segalanya mudah hanya dengan beberapa klik, anda mampu memiliki produk yang diinginkan, tidak kira di mana anda berada.
Ketika tunggu tren LRT, tahu-tahu saja anda sudah buat pembayaran.
Baju suit warna pastel akan tiba di pagar rumah anda tiga hari lagi. Oh, seronoknya! Selain kedai maya yang sudah mencipta fenomena, ia turut mempunyai dua buah kedai fizikal di Pavillion dan Bangsar Village.
Walaupun kedengaran agak moden, namun ia tetap sebuah nama yang bercirikan malar segar.
Nama bisnes yang mudah disebut, menarik dan unik antara faktor jenama ini mudah mendekati generasi muda. Saya juga menyukai maksud FashionValet yang straightforward, tiada teka-teki yang mengelirukan.
Syarikat mereka ini turut tersenarai dalam papan bursa saham Malaysia, satu pencapaian yang hebat dan membanggakan. FashionValet bukan sekadar menjual pakaian, tetapi juga sebagai pencipta trend semasa.
Farm Fresh
Anda biasa dengar tagline, ‘Ini barulah susu segar’?
Frasa itu semakin popular dan menjadi buah mulut sejak syarikat produk tenusu ini menjadi penaja kepada beberapa program hiburan.
Satu nama yang tidak asing lagi, Farm Fresh yang mula diasaskan sejak 2009, mengeluarkan pelbagai jenis susu yang menjadi kegemaran ramai.

Farm dan Fresh, dua perkataan yang mudah digabungkan.
Sekali baca, ia terus menggambarkan kesegaran produk susu itu sendiri. Kedua perkataan yang dimulakan dengan huruf F juga adalah langkah pemasaran bijak. Ia taktik bijak yang membuatkan para pelanggan selesa dan terkenang-kenang.
Menyebut nama saja sudah terasa bersemangat, itu belum lagi anda menikmati kelazatan susu yang segar tanpa pengawet. Oh, perisa coklat yang paling menggoda anak tekak! Dan perisa Latte tetap ada peminatnya.
Produk susu terbaik dari ladang. Siapa yang sudah pernah minum susu Farm Fresh pasti setuju, kan?
Laporan terkini menyatakan, permintaan terhadap produk tenusu semakin tinggi dan Farm Fresh adalah jenama yang paling mendapat sambutan di Malaysia.
Produk yogurt serta minuman yogurt turut disukai, kerana rasanya yang lazat berkrim dan kurang manis.
Pada masa akan datang, syarikat Farm Fresh mahu melebarkan lagi sayap untuk menembusi pasaran di Asia Tenggara pula. Peranan Farm Fresh sememangnya besar sehingga memecah rekod dalam industri susu negara.
Nampak jauh mana syarikat ini boleh pergi? Bisnes anda pun bergitu juga.
Generator Nama Bisnes
Bagaimana, adakah anda masih berkerut dahi dan rasa tersekat? Jangan risau, setiap kesulitan pasti ada jalan selesai.
Anda boleh gunakan Generator Nama Bisnes.

Peranan generator ini adalah mengeluarkan senarai nama pilihan, menyediakan puluhan perkataan dan gabungan yang sesuai. Anda hanya perlu taipkan kata kunci kegemaran, maka banyak contoh nama bisnes akan muncul di skrin.
Ya, memang rambang mata dibuatnya.
Namun, tiada jaminan bahawa semua nama yang dipaparkan itu berstatus available – itu menjadi tugas anda pula untuk membuat semakan selanjutnya.
Khidmat generator ini pastinya memberi manfaat kepada usahawan yang berasa tertekan memilih nama bisnes. Ia percuma, jadi tidak ada salahnya mencuba!
Kesimpulan Tips Cari Nama Bisnes Terbaik Untuk Bisnes E-commerce Anda
Banyak mana pun cadangan yang ada, keputusannya tetap di tangan anda. Semuanya terpulang kepada anda.
Saya sudah menunjukkan beberapa tip, teknik, dan alat untuk menghasilkan nama bisnes terunggul. Hanya tunggu detik untuk anda aplikasikan saja.
Ingat, nama bisnes yang bagus bukanlah wujud sekelip mata. Beri masa dan ruang buat diri anda. Selamat membuat pilihan!